Terjemahan

PENGIKUT

Memaparkan catatan dengan label Karya Agung. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Karya Agung. Papar semua catatan

Rabu, 22 Mei 2013

STRUKTUR AYAT DALAM SULALATUS SALATIN


Bahasa Melayu klasik lahir rentetan daripada perkembangan bahasa Melayu Kuno yang wujud daripada penemuan batu bersurat, manuskrip-manuskrip lama dan sebagainya . Bahasa Melayu Klasik boleh dianggap sebagai bahasa yang kukuh pada zaman dahulu kerana bahasa ini telah diterima oleh masyarakat sekitarnya. Pada peringkat permulaan manusia berkomunikasi hanya menggunakan isyarat tangan selepas itu lahirlah bunyi-bunyi bahasa yang digunakan sebagai perantara untuk berkomunikasi. Setiap kelompok mempunyai bunyi bahasa yang berbeza antara satu sama lain. Bahasa yang berupaya bertahan merupakan bahasa yang diterima oleh masyarakat sekitarnya. Bahasa Melayu Klasik mempunyai keistimewaannya sendiri berbanding bahasa sebelumnya. Hal ini menyebabkan bahasa ini boleh bertahan lama lalu menghasilkan pelbagai bentuk penulisan seperti karya-karya klasik. Terdapat sebahagian karya diangkat sebagai karya agung dan masih dijadikan sebagai bahan bacaan dan bahan rujukan kepada masyarakat pada hari ini. Karya agung ini juga dijadikan sebagai bahan kajian bagi sesetengah masyarakt mengenai kandungan, bahasa, bentuk dan sebagainya.

        Kekuatan bahasa Melayu klasik sangat jelas apabila bahasa ini berfungsi sebagai lingua franca di daerah kepulauan Melayu sejak zaman berzaman. Sejarah juga telah membuktikan bahawa bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa perhubungan oleh pedagang-pedagang yang berdagang di kepulauan Melayu. Bahasa Melayu klasik mempunyai kekuatannya tersendiri yang membolehkan bahasa ini diterima oleh masyarakat. Perkembangan bahasa Melayu klasik diasaskan daripada tulisan yang terdapat pada batu bersurat abad ketujuh. Selepas itu bahasa Melayu klasik banyak mengalami perubahan dari aspek kosa kata, struktur ayat dan bentuk tulisannya. Antara ciri bahasa Melayu klasik yang membezakannya daripada bahasa lain ialah dari segi struktur ayatnya. Bahasa Melayu klasik menggunakan ayat yang panjang, berulang dan berbelit. Ayatnya juga banyak menggunakan ayat pasif berbanding ayat aktif.  Hal ini dapat dilihat dalam ayat berikut;

         ...Syahadan maka setelah dilihat oleh Patih Gajah Mada kelakuan Betara Majapahit itu...
                                                                                                (Sulalatus Salatin, halaman  116)

      Selain mempunyai kelainan daripada  struktur ayat, bahasa Melayu Klasik banyak menggunakan perkataan-perkataan yang mempunyai laras istana yang tidak diguna pakai oleh masyarakat golongan bawahan seperti gundik, beta beradu dan sebagainya. Bahasa ini banayak menggunakan partikal dalam ayat seperti ‘lah’ dan ‘pun’ yang digunakan dalam kata kerja seperti beradulah dan  berangkatlah. Hal ini dapat dilihat dalam contoh ayat yang berikut.

                   ...Maka Betara pun duduklah di penghadapan dihadapan orang banyak...
                                                                                          (Sulalatus Salatin, halaman 126-127)

        Bahasa Melayu Klasik juga menggunakan perdu perkataan iaitu pembuka kata untuk sesuatu cerita seperti maka, hatta dan sebagainya. Hal ini dapat memperlihatkan nilai estetika atau keindahan dalam bahasa Melayu klasik yang pernah menjadi bahasa lingua franca pada suatu masa dahulu. Hal ini dapat dilihat dalam ayat berikut.

        ...Hatta dalam antara itu Hang Kasturi pun berkehendak dengan seorang dayang-dayang...
       ...Maka Hang Jebat kesiangan di istana, lalu ia hendak mengamuk...
                                                                                                   (Sulalatus Salatin, halaman 138)

         Ciri-ciri bahasa Melayu klasik ini menunjukkan bahasa ini mempunyai identiti yang tersendiri. Walau bagaimanapun, kedudukannya di tanah Melayu tidak kekal disebabkan oleh peredaran zaman daripada zaman klasik kepada zaman moden. Bahasa ini juga tidak digunakan lagi pada masa kini kerana sifatnya yang sukar untuk difahami serta berbelit-belit. Walau bagaimanapun, masih terdapat binaan ayat yang serupa antara bahasa Melayu moden dan bahasa Melayu Klasik, namun nisbah persamaan antara dua bahasa ini sangat sedikit. Bahasa Melayu moden mempunyai perbezaan serta mengikut hukum tatabahasa yang betul, ringkas serta tidak berbelit-belit.

SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU

Sulalatus Salatin juga dikenali sebagai Sejarah Melayu.  Karya ini telah dikarang oleh Tun Sri Lanang ketika beliau menjadi Bendahara paduka Johor bermula tahun 1580 hingga 1615. Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Karya ini bergenre sejarah yang mengandungi lima belas bab kesemuanya. Karya agung ini menceritakan tentang perihal zaman kesultanan Melayu Melaka yang dikatakan di bawa dari Goa. Hal ini dapat dibuktikan dalam ayat berikut :

“Pada antara itu ada seorang Orang Besar,  terlebih mulianya dan terlebih besar martabatnya daripada yang lain. Maka berkata ia kepada fakir, “ Hamba dengar ada Hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya dengan adatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian dari kita…”
Karya ini mempunyai banyak versi antaranya versi W. G  Shellabear, Munshi Abdullah dan versi Raffles MN. Karya ini mengisahkan tentang zaman pemerintahan raja terdahulu seperti zaman pemerintahan kesultanan Melayu Melaka.  Pelbagai kisah yang boleh dijadikan tauladan kepada masyarakat pada hari ini. Walaupun karya ini berkisarkan tentang zaman pemerintahan raja-raja, karya ini tetap boleh dijadikan panduan hidup serta mendidik masyarakat pada hari ini. Pelbagai nilai Melayu yang tergambar dalam karya ini  seperti nilai estetika yang menjadi keutamaan dalam karya Melayu iaitu estetika dari segi adab dan adatnya, estetika dari segi retoriknya dan sebagainya. Selain itu terdapat juga nilai Melayu yang melihat tentang etika dan kepimpinan dalam Masyarakat Melayu.

Masyarakat Melayu digambarkan sebagai masyarakat yang bijak mendidik serta mementingkan keagamaan. Hal ini menyebabkan lahirnya pelbagai bentuk sastera. Selain sastera sejarah terdapat juga sastera lipur lara, undang-undang, epik, mitos, dan agama. Melalui penelitian terhadap karya agung Sulalatus Salatin Sejarah Melayu pelbagai falsafah melayu yang digarap dalam penceritaan ini. Hal ini merupakan salah satu sebab mengapa Sulalatus Salatin diangkat sebagai karya agung. Antara bentuk falsafah Melayu yang terkandung dalam karya ini seperti falsafah nilai dan etika, kepimpinan, waad, estetika, bahasa, agama dan banyak lagi. Namun hanya sebahagian falsafah Melayu sahaja yang akan dikupas dalam penelitian terhadap falsafah Melayu dalam karya agung Sulalatus Salatin ini.




Selasa, 21 Mei 2013

KARYA AGUNG MELAYU


TAKRIF

Karya Agung Melayu ialah karya yang tertulis dalam bahasa Melayu atau yang diungkapkan atau dilisankan dalam bahasa Melayu, tidak kira di manakah daerah asalnya di Dunia Melayu ini; dan yang mampu mencetuskan, dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-temurun. Pendek kata, Karya Agung Melayu merupakan warisan budaya sastera bangsa Melayu.

ISTILAH

Di Barat, Great Works atau Karya Agung selalu dianggap sebagai karya yang bersifat “klasik”. Istilah ini merujuk kepada karya yang tertulis pada “zaman purba” yang telah meninggalkan kesan yang cukup berpengaruh kepada zaman-zaman berikutnya. Konsep ini menganggap bahawa karya lisan tidak termasuk dalam kategori karya klasik; karya lisan dianggap sebagai folk literature, iaitu sastera zaman pratulisan, sastera rakyat yang sering kali dianggap bersifat “primitive” walaupun nilainya, dari segi ukuran seni (bukan dari segi ukuran ruang dan waktu sejarah-evolusi), boleh jadi “agung”. Istilah “klasik” membayangkan konsep sejarah atau evolusi, melihat karya itu sebagai hasil sejarah dan tidak sebagai hasil ciptaan seni atau sastera yang mempunyai realiti atau logiknya.

      Di Malaysia, istilah “kesusasteraan lama” pernah digunakan pada tahun 1950-an atau 1960-an (misalnya oleh A.Samad Ahmad) sebagai istilah yang sama maksudnya dengan istilah klasik. Kemudian istilah “klasik” digunakan kerana terpengaruh dnegan konsep Barat. Istilah yang terbaru ialah “Kesusasteraan tradisional”. Takrif kesusasteraan Melayu tradisional dikemukakan, antara yang lain-lain oleh Harun Mat Piah (1993). Menurutnya, kesusasteraan tradisional bersifat kolektif, milik bersama masyarakat, juga bersifat fungsional, terutama dalam genre puisi. Tradisi ini dilajutkan dari zaman lampau hingga ke hari ini. Sebab itulah karya-karya sastera tradisional masih terus berkembang, dicipta dan dimanfaatkan oleh ahli-ahli masyarakatnya dalam kehidupan mereka sehari-hari (Harun Mat Piah, 1993:7).

Harun Mat Piah (1993). Konsep dan Pendekatan dalam Zalila Sharif dan Jamilah Haji Ahmad (ed.), Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

CIRI-CIRI KARYA AGUNG MELAYU

Faktor-faktor yang Merangsang Penghasilan Karya Agung dalam Bahasa Melayu

Tiga faktor utama yang merangsang penghasilan Karya Agung dalam bahasa Melayu dalam sejarah yang lalu ialah (a) kekuatan bahasa Melayu itu, (b) pengaruh Islam, dan (c) peranan istana dan sekolah pondok/pesantren. Sebagaimana disebut di atas, bahasa Melayu bukan sahaja sudah berkembang sebagai lingua franca perdagangan terutama di pesisir Selat Melaka di kawasan Dunia Melayu sejak awal abad Masihi tetapi lebih penting lagi ia berkembang juga sebagai perakam dan pengungkap budaya tinggi. Pada zaman pengaruh tamadun Hindu (dari India), bahasa Sanskrit tidak dapat menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa kerajaan atau sebagai bahasa budaya atau ilmu baru yang dibawa oleh tamadun Hindu itu.

          Menurut beberapa sumber, termasuk sumber Cina, paderi dan pelajar agama Buddha yang berkelana antara India dan China sering singgah di pusat pengajian agama/falsafah Buddha di Palembang untuk mempelajari ajaran agama di situ sebelum meneruskan perjalanan mereka ke India atau ke China. Pengembaraan dan paderi Cina, I-Tsing (pada akhir abad ke-7) menyebut bahawa bahasa yang digunakan di situ ialah bahasa Kwanlun, iaitu bahasa Melayu. Tetapi peranan bahasa Melayu sebagai alat persuratan pada zaman pengaruh Hindu itu tidak meluas kerana kegunaannya terbatas dalam kalangan paderi dan “pegawai” istana kerajaan Srivijaya sahaja.

            Keadaan ini berubah apabila Islam muncul di Kawasan Dunia Melayu. Pada abad ke-12 dan ke-13, beberapa buah kerajaan Melayu-Islam telah ditubuhkan di Perlak (Pasai), mengakibatkan berakhirnya pengaruh kerajaan Melayu Srivijaya. Istana kerajaan Melayu-Islam memainkan peranan penting untuk mendukung kegiatan penulisan sebagai wadah pembentuk warisan bangsa.

Hassan Ahmad (2000). Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung Yayasan Karyawan. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan.

Genre Kesusasteraan Melayu Tradisional

Kesusasteraan tradisional Melayu diciptakan melalui dua tradisi, iaitu tradisi lisan dan tradisi tulisan. Tradisi lisan menghasilkan dua bentuk sastera, iaitu sastera berbentuk cerita dan sastera yang tidak berbentuk cerita yang diungkapkan dalam bentuk puisi dan peribahasa. Sastera tulisan menghasilkan lebih banyak jenis, seperti disenaraikan di bawah:

SASTERA LISAN
     (a)    Berbentuk cerita atau hikayat
                               I.            Cerita romantic atau lipur lara
                            II.            Cerita binatang
                         III.            Cerita jenaka
                         IV.            Cerita asal usul
                            V.            Mitos dan lagenda
      (b)   Tidak berbentuk cerita
                               I.            Peribahasa
                            II.            Pantun
                         III.            Gurindam, seloka dan teka-teki
                         IV.            Mantera, jampi serapah

SASTERA TULISAN
     (a)    Berbentuk cerita
                               I.            Sastera hikayat
                            II.            Sastera epic
                         III.            Sastera panji dan perwayangan
                         IV.            Sastera sejarah yang bercorak mitos dan legenda, sejarah yang sebenar, dan salasilah
                            V.            Kisah para Nabi dan tokoh Islam
                         VI.            Syair
      (b)   Tidak berbentuk cerita
                               I.            Sastera kitab (tentang ilmu agama, syariah dll)
                            II.            Sastera undang-undang
                         III.            Sastera metafizik/tasawuf
                         IV.            Sastera sains tradisional

        Antara sastera lisan dan sastera tulisan terdapat beberapa banyak persamaan gaya bahasa, teknik penceritaan, isi dan tema cerita kerana asalnya (warisannya) sama. Perkara kedua yang perlu diperhatikan ialah, dalam kesusasteraan Melayu tradisional, “hikayat” tidak sahaja bermakna “cerita” tetapi juga bererti kisah, salasilah atau sejarah, mitos, dan legenda.

Hassan Ahmad (2000). Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung Yayasan Karyawan. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan.


Ahad, 19 Mei 2013

BUSTAN AL-KATIBIN

Bustanu al-Katibin li’s-Sibyan al-Muta’allimin (Kitab Perkebunan Jurutulis bagi Kanak-kanak yang Hendak Belajar) merupakan tulisan yang paling awal tentang bahasa Melayu yang disusun oleh orang Melayu, iaitu Raja Ali Haji dai Pulau Penyengat di Kepulauan Riau. Karya ini selesai dikarang pada tahun Hijarah 1267 (bersamaan dengan tahun Masishi 1850). Sebuah lagi karya Raja Ali Haji tentang bahasa Melayu ialah Kitab Pengetahuan Bahasa: Kamus Loghat Melayu Johor, Pahang, Riau dan Lingga yang tertulis pada tahun Hijrah 1275 (tahun Masihi 1858) tetapi dicetak kira-kira 69 tahun kemudian, iaitu pada tahun Hijrah 1345 atau tahun Masihi 1927.

         Sesungguhnya karya-karya tentang bahasa Melayu oleh Raja Ali Haji ini merupakan warisan yang amat berharga yang menjadi penyambung kepada tradisi pengajian bahasa dalam Islam yang bermula sejak zaman awal Islam lagi. Dalam Islam, pengajian bahasa khususnya bahasa Arab dan bahasa penganut Islam yang lain, merupakan ilmu alat untuk mencapai makrifat, iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudan, memperteguh keimanan dan ketakwaan, dan menyemai adab kesopanan yang mulia, yang mengandungi antara lain ilmu-ilmu:
                       1)      Nahu (sintaksis)
                       2)      Saraf (morfologi)
                       3)      Qawa’id (tatabahasa)
                       4)      Mantiq (logik)
                       5)      Balaghah (retorik)
                       6)      Istidlal (pendalilan)
                       7)      Kalam (penghujahan)

         Raja Ali Haji dalam 2 buah buku beliau telah meletakkan tradisi pengajian bahasa Melayu berdasarkan maksud dan matlamat pengajian bahasa yang digariskan oleh pengajian Islam tersebut. Di sinilah letaknya keistimewaan tokoh Raja Ali Haji dalam tradisi persuratan Melayu, yang bukan sahaja merupakan bahasa Melayu, tetapi juga telah meletakkan asas pengajian bahasa Melayu pada tempat yang sebenar, iaitu sebagai ilmu alat untuk memperoleh ilmu yang benar yang akan membawa kepada keyakinan dan ketakwaan.

Sumber: Hashim bin Musa (pengkaji) & ed,Hassan Ahmad (2005) : Bustan al-Katibin. Kuala Lumpu: Yayasan Karyawan.

CERITERA WANITA DALAM SULALAT-US-SALATIN

Sejak awal 1990-an lagi, telah muncul kajian-kajian yang membicarakan tentang “citra” wanita dalam penulisan Melayu tradisional dan moden. Kajian-kajian ini bertujuan untuk meninjau secara lebih dekat “rupa” wanita seperti yang terdapat dalam karya-karya tersebut, peranan pengarang, masyarakat dan cara berfikir sezaman. Selain mencari kebenaran, sebahagian daripada kajian-kajian ini kelihat seperti didorong oleh hasrat menulis semula sejarah atau membela wanita akibat dirangsang semangar “kebebasan wanita” ala Barat.
            Watak utama dan terpenting dalam Syair Siti Zubaidah Perang Cina misalnya, ialah Siti Zubaidah, seorang perempuan. Demikianlah juga pelaku utama dalam hikayat-hikayat Panji Melayu seperti Hikayat Panji Semirang, Hikayat Panji Kuda Semirang dan Hikayat Mesa Gimang juga adalah perempuan iaitu Galuh Candra Kirana.

Watak-watak Perempuan di dalam Sulalat-us-Salatin

1)                  Wan Empuk, Wan Malini dan Wan Sendari

a.                   Wan Empuk dan Wan Malini merupakan orang pertama yang menyaksikan kemunculan tiga putera ajaib di Bukit Si Guntang. Merekalah yang melayan dan memelihara tiga remaja itu sehingga di ambil oleh Raja Palembang, Demar Lebar Daun.
b.                  Wan Sendari, anak Demang Lebar Daun dilihat sebagai mempunyai ketahanan yang luar biasa sehingga berupaya menghadapi “daulat” Seri Teri Buana yang telah memudaratkan tiga puluh sembilan perempuan tempatan yang dikahwini tanpa syarat sebelumnya.
Daripada watak di atas, peranan wanita boleh ditafsirkan dengan pelbagai cara. Pertama, walaupun berketurunan agung, raja-raja berasal dari luar sering bersama-sama mereka unsure buruk yang sukar diatasi oleh masyarakat. Kedua, kekuatan usur kebaikan yang ada pada puteri raja Peribumi iaitu Wan Sendari. Ketiga, kesentoasaan hanya terhasil apabila gejala buruk bawaan lelaki luar yang berpengaruh dapat ditunjukkan oleh gejala baik yang wujud dalam diri wanita.

2)                  Puteri Gunung Ledang (PGL)

a)                  Satu kisah yang lain, tetapi lebih aneh dan penuh kiasan, dalam hubungan kaum perempuan dengan kuasa, pemerintahan dan negara adalah kisah yang berkaitan dengan PGL. Ia bermula dengan keghairahan Raja Melaka untuk mengatasi “segala raja-raja dalam dunia ini” dengan mengahwini puteri ajaib yang kononnya bersemayam di puncak Gunung Ledang. PGL mengenakan syarat tetapi akhirnya Sultan Melaka mengalah kerana walaupun semua syarat lain dapat ditunaikannya, tetapi “kerana tiada sampai hati”, syarat menyediakan semangkuk darah anakandanya tidak dapat dipenuhi.

           Di sini soal perempuan adalah perkara penting dalam pemikiran kalangan lelaki yang berada si atas takhta Kerajaan Melayu Melaka dan menjadi antara unsur utama yang mencorakkan perkembangan politik di negeri Melayu. Sulalat-us-Salatin adalah hasil karya orang lelaki dan secara umumnya tentang dunia lelaki. Namun, dunia lelaki akan tempang dan tidak mungkin sempurna tanpa perempuan. Yang melahirkan lelaki, mengasuh lelaki sewaktu bayi dan melengkapkan lelaki adalah perempuan. Oleh itu, mahu tidak mahu ceritera wanita tetap ada walaupun dalam hikayat yang dihasilkan lelaki.

Sumber: Abdul Rahman Haji Ismal et.al (ed). Sulalat-us-Salatin (Sejarah Melayu):Cerakinan           Sejarah, Budaya dan Bahasa (2008). Pulau Pinang: Univesiti Sains Malaysia.
           

HIKAYAT HANG TUAH

Hikayat Hang Tuah yang diterbitkan oleh Yayasan Karyawan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka telah dikaji dan dikupas oleh Kassim Ahmad dengan pengenalan tambahan oleh Noriah Mohammed. Berdasarkan istilah sejarah, hikayat ini boleh dikatakan sebagai sumber lisan kerana kita tidak dapat mengetahui pengarang sebenar teks ini dan pada asalnya Hikayat Hang Tuah diperturunkan dari mulut ke mulut. Cetakan pertamanya diterbitkan pada tahun 1997. Cetakan kedua dan ketiga pula telah diringkaskan dan dipermudah bahasanya. Buku Hang Tuah ini amat terhad dan tidak mudah didapati di pasaran, serta bernilai harganya, iaitu RM180.00. Halaman awal naskhah Hikayat Hang Tuah yang digunakan sebagai dasar kajian ini. Naskhah ini diperoleh daripada Tengku Ibrahim, Kelantan, tanpa tarikh salinan, dan kini disimpan di Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka.


      Perpustakaan Negara Malaysia memiliki dua naskhah Hikayat Hang Tuah dengan nombor pengenalpastian MSS 1658 dan MSS 1713. Naskhah-naskhah tersebut berumur lebih dari 200 tahun dan dipelihara dalam sebuah kotak bebas asid dan disimpan dalam sebuah bilik kebal yang dibina mengikut piawaian keperluan pemeliharaan.



Sinopsis


Hikayat Hang Tuah merupakan satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita. kebolehan, dan sikap hidup orang-orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah yang menerajui hikayat ini, mewakili keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya dan bertamadun dengan menonjolkan sifat-sifat kesetiaan, keberanian, kepintaran dan budi bahasa yang halus. Hang Tuah merupakan seorang laksamana yang unggul serta pahlawan Melayu yang gagah semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka pada abad ke-15.



        Pada masa umurnya sepuluh tahun , Hang Tuah bersahabat karib dengan empat orang yang sebaya dengannya, iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Mereka bagaikan isi dengan kuku. Ketika belayar ke Pulau Tinggi, Hang Tuah dan sahabatnya telah membunuh segerombolan lanun lalu mereka diambil berkhidmat di bawah Sultan oleh Bendahara yang kagum akan kepahlawanan mereka pada usia yang begitu muda.



          Ketika Hang Tuah mengiringi Sultan ke Majapahit, beliau menyahut cabaran seorang pahlawan Jawa yang termahsyur dikenali sebagai Taming Sari dan berjaya memperoleh sebilah keris yang dinamakan “Taming Sari” sempena pemiliknya yang asal. Taming Sari merupakan seorang anak buah Empayar Majapahit yang telah dihadiahi dengan sebilah keris kuno yang dipercayai boleh menyebabkan pemiliknya kebal. Kemenangannya menyebabkan Hang Tuah dikurniai bukan sahaja keris ‘Taming Sari’ tetapi juga gelaran Laksamana dan sepersalinan pakaian oleh Seri Betara.

          Laksamana Hang Tuah telah menjadi orang kesayangan Sultan dan hal ini menimbulkan rasa iri hati dalam kalangan kerabat diraja termasuk Patih Karma Wijaya. Suatu tuduhan palsu telah dibuat terhadap Hang Tuah iaitu, beliau dituduh berzina dengan dayang Sultan, dan Hang Tuah serta-merta dijatuhi hukuman mati oleh Sultan yang murka tanpa sebarang usul periksa. Bagaimanapun, hukuman mati itu tidak dilaksanakan oleh Bendahara, dan Hang Tuah disembunyikan di Inderapura.

        Mempercayai bahawa Hang Tuah telah mati, Hang Jebat, melancarkan pemberontakan balas dendam terhadap Sultan Mansur Shah demi membela kematian sahabatnya di samping menyebabkan keadaan huru-hara dalam kalangan rakyat Melaka. Seterusnya, Sultan meninggalkan istana dan mengumumkan Hang Jebat sebagai penderhaka. Semua percubaan untuk membunuh Hang Jebat tidak berhasil. Sultan Mansur Shah berasa sesal akan hukuman mati yang telah dijatuhkan kepada Hang Tuah kerana Hang Tuah merupakan satu-satunya wira yang berupaya untuk membunuh Hang Jebat.

    Akhirnya, Bendahara membuka rahsianya dan memanggil Hang Tuah pulang daripada persembunyian. Hang Tuah telah diampuni oleh Sultan. Suatu perjuangan yang amat menyedihkan telah berlaku antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Selepas berlawan selama tujuh hari, Hang Tuah telah berjaya membunuh Hang Jebat dan mendapat keris Taming Sarinya semula. Jebat mengamuk selama 3 hari sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

      Kemudian, orang-orang Feringgi (Portugis) berjaya menawan Melaka dengan membedil kota Melaka. Penggempuran ini telah dilakukan serentak dengan kedatangan dua angkatan laut dari Manila dan negara Feringgi. Para pahlawan Melaka pun menemukan kegagalan dan seterusnya berundur ke selatan. Di sini, mereka mendirikan sebuah kerajaan baharu yang dikenali sebagai Kerajaan Johor Lama.

        Maka, Hang Tuah terus menghilangkan diri dan beliau tidak pernah dilihat lagi. Berita tentang Laksamana Hang Tuah juga tidak kedengaran lagi tetapi beliau dipercayai masih hidup pada akhir hikayat ini. Hikayat ini diakhiri dengan semangat nasionalisme yang kekal sehingga hari ini, iaitu “Takkan Melayu Hilang di Dunia.” Hikayat Hang Tuah turut dikemukakan oleh Malaysia sebagai Warisan Dunia untuk dimasukkan ke dalam Daftar Ingatan Dunia - Memory of the World Register pada 2001.

Biodata Pengarang:
Kassim Ahmad merupakan sarjana Melayu yang pertama melakukan kajian teks Hikayat Hang Tuah secara ilmiah berdasarkan sumber yang diperoleh daripada Tengku Ibrahim. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Sastera (M.A) dari Universiti Malaya, Singapura.



Munsyi Dewan Bahasa (2010). Hikayat Hang Tuah. Diperoleh pada Mei, 2013 daripada http://chaimestm.blogspot.com/2010/02/karya-agung.html