Terjemahan

PENGIKUT

Jumaat, 31 Mei 2013

TUHFAT AL-NAFIS



Tuhfat al-Nafis dikarang pada 3 Syaaban 1282H, iaitu bersamaan 1865M. Tuhfat al-Nafis dapat dikatakan sebagai lanjutan daripada Salasilah Melayu dan Bugis. Tuhfat al-Nafis merupakan naskhah yang paling terkenal daripada semua karangan Raja Ali Haji. Kandungannya dimulakan dengan menjelaskan sejarah Singapura, Melaka dan Johor yang kemudian dilanjutkan tentang Riau yang dikalahkan oleh Belanda. Selain itu, Tuhfat al-Nafis menghuraikan secara terperinci akan kejadian-kejadian bersejarah mulai tahun 1677M hingga ke tahun disusunnya naskhah itu (1282H/1865M).


Dipaparkan dengan hebat kisah datuknya Raja Haji, iaitu putera Opu Daeng Cellak sehingga beliau mangkat di Teluk Ketapan, Melaka. Naskhah Tuhfat al-Nafis pernah diterbitkan oleh R. O. Winstedt dalam tahun 1932, dimuat dalam JMBRAS, dalam tahun 1965 oleh Malaysia Publication di Singapura dengan edisi tulisan Rumi/Latin, dan Tuhfat Al-Nafis Sejarah Melayu-Islam merupakan transliterasi oleh Virginia Matheson Hooker diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1991. Bagaimanapun, ada sarjana yang berpendapat kitab Tuhfat al-Nafis bukan hasil penulisan Raja Ali Haji tetapi hasil penulisan ayahnya Raja Haji Ahmad yang terkenal itu.

FALSAFAH DALAM BUSTAN AL-KATIBIN



Ilmu pengetahuan tentang kewujudan Allah S.W.T sebenarnya berkait rapat dan langsung dengan ikrar seorang Muslim dalam kalimah syahadahnya iaitu:
                        “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah”

Oleh itu bagi Raja Ali Haji, ilmu yang utama dan wajib dipelajari ialah ilmu  tentang Allah S.W.T. Matlamat utama dalam pengajian dan pembelajaran bahasa bukan sahaja mengetahui binaan bahasa, bunyi dan ejaannya, perkataan, kosa kata, binaan ayat, klausa dan sebagainya malah lebih daripada itu iaitu mempelajari cara untuk menggunakan bahasa supaya tercapai ilmu yang benar bagi membimbing manusia ke arah keredhaan Allah.

            Di dalam kitab ini juga, Raja Ali Haji mengatakan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa umat Islam terulung di Asia Tenggara. Melalui kitab ini, beliau dapat mewujudkan penghuraian tentang bahasa Melayu yang tepat, padat, ringkas, dan rapi dari segi ejaan dan tata bahasanya yang mewakili sistem medan makna yang diberikan takrif yang jelas berdasarkan autoriti al-Quran dan al-Hadith.

            Berdasarkan kepada pandangan dan hujahan beliau di dalam bukunya, jelaslah bahawa pandangan Raja Ali Haji tentang pengajian, penggunaan dan pembelajaran bahasa Melayu berkait rapat dengan pandangan sejagat beliau sebagai orang Melayu Islam yang melihat hakikat kewujudan dan kejadian alam semesta dan manusia di dalam lingkungan Tuhan. 

            Raja Ali Haji dalam kitabnya turut menerangkan kaedah menulis surat kiriman rasmi yang telah menjadi salah satu daripada budaya atau adab orang Melayu Islam. Surat kiriman ini mengukuhkan dan mengesahkan lagi darjat dan martabat ilmu yang membawa kepada kesahihan dan kebenaran ilmu dalam Islam. Beliau dalam tulisannya menerangkan kaedah menulis surat seperti di bawah:

Bermula perkataan pada surat perkiriman itu, maka hendaklah dimulai dengan bismillahirrahman nirrahim dan kemudian Alhamdulillah iaitu memuji-muji Allah Ta’ala mana yang munasabah dan waqi’…kemudian selawatkan Nabi kita serta keluarganya dan sahabatnya, dan kemudian baharulah diiringi dengan salam ta’zim…pada orang-orang yang berkirim dan orang yang dikirim.


FALSAFAH KEISLAMAN DALAM NASKHAH TUHFAT AL-NAFIS



Ramai ahli sejarah bersetuju yang agama Islam telah diperkenalkan di Nusantara melalui perdagangan. Peranan pedagang Islam terutama di zaman permulaan Islam di Nusantara amat penting sekali. Para pedagang dari Arab, India, dan Parsi telah menumpukan kegiatan perdagangan di rantau ini semenjak abad ke-8 atau ke-9 lagi. Manakala menurut catatan China, pedagang-pedagang Islam sudah ada di kawasan perairan Melayu semenjak pertengahan abad ke-7 lagi. Di antara barang-barang tersebut ialah lada, rempah, kemenyan dan terutamanya kapur barus. Khusus tentang kapur barus, ia pernah dianggap sebagai punca yang membawa orang-orang Arab ke Nusantara sejak awal lagi. Sebenarnya barang-barang ini bukan sahaja dikehendaki oleh orang-orang Arab bahkan juga orang-orang Barat.

Buku Tuhfat al-Nafis hasil karya Raja Ali Haji turut menyentuh mengenai unsur-unsur keislaman terutamanya dalam golongan pemerintah. Apabila unsur-unsur keislaman itu wujud dalam sesebuah karya agung itu, secara tidak langsung memaparkan kepada pembaca akan pengaruh agama Islam mula wujud dan seterusnya mempengaruhi penulisan pada ketika itu. Pengarang menyatakan Raja Kecil Besar adalah raja Melayu yang pertama memeluk agama Islam dan digambarkan Raja Kecil Besar mendapat hidayah ketika dalam tidur dan apabila bangun dari tidur baginda mendapati zakarnya telah dikhatankan.

“Syahadan apabila mangkatlah Raja Besar Muda itu maka menggantikan puteranya yang bernama Raja Tengah. Syahadan apabila mangkatlah Raja Tengah itu maka menggantikan kerajaannya puteranya yang bernama Raja Kecil Besar. Syahadan kata sahibul hikayat inilah raja yang adil lagi saksama pada zaman itu, dan ialah Raja Melayu yang mula-mula masuk ugama Islam, yang bermimpikan berjumpa hadrat Nabi kita Muhammad salla Allahu ‘alaihi wasallam, yang diajar oleh Rasulullah salla Allahu ‘alaihi wasallam, dengan mengucap dua kalimat syahadat, iaitu: asyhadu al la ilaha illa’llahu, wa asyhadu anna Muhammadan Rasulu’llahi: serta terkejut daripada tidurnya, dilihatnya zakarnya sudah terkhatan.”                                                                                                                                                                                      
                                                                        (Tuhfat al-Nafis, 1982: 4-5)
Selain itu juga, pengaruh Islam turut dipengaruhi oleh kehadiran pedagang-pedagang luar seperti dari negara Arab. Pada waktu dahulu, kapal-kapal dagangan bebas membawa barang-barang dagangannya dan berlabuh di pelabuhan yang ada. Kesempatan berdagang inilah digunakan oleh pedagang untuk melebar luaskan pengaruh atau fahaman mereka. Kehadiran pedagang dari luar yang secara tidak langsung melebar luaskan pengaruh Islam turut diselitkan oleh pengarang dalam Tuhfat al-Nafis. Misalnya:

“Maka pada pagi hari ia berangkat ke pantai melihat kapal datang dari Jeddah. Maka turunlah orangnya sembahyang di tepi pantai itu dilihatnya seperti yang di dalam mimpinya. Maka raja itu pun menderumkan gajahnya lalu diambilnya orang yang sembahyang itu dibawanya naik ke atas gajahnya, iaitu Syekh Makhdum namanya, lalulah dibawanya masuk ke dalam kotanya. Maka belajarlah ia akan ugama Islam. Maka masuk Islam segala orang besar-besarnya dan segala isi negeri Melaka itu. Maka baginda itu pun bergelarlah Sultan Muhammad Syah.”                                                                                                                                                                                               
                                                                              (Tuhfat al-Nafis, 1982: 5)
Petikan di atas menunjukkan kepada pembaca bagaimana permulaan agama Islam masuk ke Alam Melayu dan seterusnya tersebar luas. Pembaca juga dapat mengetahui bahawa pada mulanya agama Islam berkembang dalam golongan atasan atau istana dan barulah merebak pada rakyat tempatan. Di sinilah peranan pengarang dapat dilihat dalam menyampaikan maklumat akan kehadiran agama Islam pada ketika itu melalui karya Tuhfat al-Nafis. Agama Islam pada ketika itu menunjukkan pengaruh yang kuat di mana pihak pemerintah, iaitu raja atau sultan bertindak membanteras golongan yang membawa ajaran sesat pada ketika itu. Pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud di negeri Lingga, telah muncul seorang lebai dari Minangkabau, iaitu Lebai Tamat. Pada mulanya Sultan Mahmud menerima kehadiran lebai itu kerana menganggap lebai tersebut akan menyampaikan ajaran Islam.

“…maka datang seorang lebai orang Minangkabau ke negeri Lingga, namanya Lebai Tamat. Maka mengaku dirinya orang alim pada ilmu hakikat mengajarlah ia akan sesetengah orang Lingga akan ilmu hakikat, dinamakan ilmunya itu ‘Isa’ konon, dan banyaklah perkataan syathiyat, hingga akhir-akhirnya pekerjaannya jatuhlah seperti i’tiqad mulhid mengaku dirinya Allah taala. Maka banyaklah murid mengikut i’tiqad…”                                                                                                                                                                                
                                                                             (Tuhfat al-Nafis, 1982: 261)
Namun, pada ketika itu Sultan Mahmud tidak mengetahui akan perkara tersebut berlaku dalam negerinya. Pegawai-pegawai negeri Lingga telah menyampaikan masalah tersebut pada adinda Sultan Mahmud, iaitu Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar.

“…datanglah segala pegawai-pegawai negeri Lingga itu memaklumkan kepada Yang Dipertuan Muda, maka murkalah Yang Dipertuan Muda. Maka lalu Lebai Tamat itu dengan segala murid-muridnya ditaubatkan serta ditakzir digondolkan kepalanya. Kemudian daripada itu, maka lebai itu pun keluarlah dari Lingga…”                                                                                       
                                                                                  (Tuhfat al-Nafis, 1982: 261)
Namun perkara tersebut tidak berhenti di situ sahaja, Lebai Tamat telah pergi ke Lampung dan membawa ajaran sesat yang sama. Perkara tersebut telah dapat dihidu oleh Sultan Mahmud lalu baginda mengarahkan adindanya Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar membunuh lebai tersebut dengan mengadakan perancangan yang strategik.

“Maka sampailah khabar itu kepada Sultan Mahmud, maka bertambah-tambah murka baginda itu akan lebai itu. Maka lalu baginda berkirim surat kepada paduka adinda Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar minta bunuh juga Lebai Tamat itu.”                                                                                                                                                                                                                 
                                                                                   (Tuhfat al-Nafis, 1982: 262)
Raja Jaafar telah mengikut perancangan yang dilakukan oleh Sultan Mahmud untuk menangkap Lebai Tamat dan menjatuhkan hukuman bunuh kerana menyebarkan ajaran songsang di serata tempat.

“Maka apabila hampir ke darat maka ditangkaplah oleh orang yang disuruh Yang Dipertuan Muda itu lalu diikat dan didepangkan tangannya. Kemudian lalulah disuruh bunuh dikerat kepalanya dikirimkan kepada Sultan Mahmud di Lingga. Maka habislah kisah Lebai Tamat yang tersebut itui intiha.”                                                                                                              
                                                                                  (Tuhfat al-Nafis, 1982: 263)

Petikan dari naskhah Tuhfat al-Nafis itu telah menunjukkan bahawa pemerintah pada ketika itu amat mementingkan pegangan agama. Dapat dilihat bagaimana Sultan Mahmud dan Yang Dipertuan Muda berusaha untuk membanteras kegiatan ajaran sesat dan bagaimana tindakan yang diambil bagi menangani masalah tersebut. Baginda pada mulanya menggunakan cara yang lembut dengan meminta golongan tersebut bertaubat dan keluar dari negeri Lingga akan tetapi golongan tersebut masih meneruskan kegiatan seperti itu di tempat lain dan akhirnya baginda telah mengambil tindakan yang sewajarnya iaitu menjatuhkan hukuman bunuh kepada pembawa ajaran sesat tersebut.  


FALSAFAH ADAT ISTIADAT DALAM NASKHAH TUHFAT AL-NAFIS



Adat merupakan peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi hukum yang harus dipatuhi. Perkataan adat berasal daripada bahasa Arab bermaksud kebiasaan. Kedatangan Islam ke Alam Melayu membawa konsep ini dengan makna yang lebih luas dan mendalam sehingga merangkumi keseluruhan cara hidup yang kini ditakrif sebagai kebudayaan, undang-undang, sistem masyarakat, upacara, dan segala kebiasaan yang sering dilakukan, seperti cara makan atau cara duduk.

Selain itu juga adat istiadat merupakan bahagian adat yang mengatur segala macam upacara dan kegiatan suci yang perlu menerima penghormatan awam. Adat istiadat berlaku kerana diamalkan dan dijaga sebaiknya. Jika ditinggalkan, adat istiadat akan pupus. Namun adat istiadat juga tertakluk pada prinsip perubahan melalui muafakat dan perundingan ataupun kesan pengaruh dari luar. Ini banyak kelihatan dalam peringkat upacara edaran hidup manusia. Pengarang Tuhfat al-Nafis, iaitu Raja Ali Haji turut menyelitkan akan kemunculan adat-adat Melayu pada ketika itu. Beliau menyatakan bahawa, Sultan Muhammad Syah merupakan raja Melayu yang pertama memperkenalkan adat-adat dalam masyarakat Melayu.

“Syahadan baginda Sultan Muhammad Syah inilah Raja Melayu mula-mula meletakkan adat-adat Melayu seperti kekuningan yang tertentu kepada raja jua, melainkan kekuningan itu jika diambilkan baju dan kain dan destar maka tiga perkara itu boleh. Dan demikian lagi larangan membuat rumah beperangin dan tiang beralas tidak terletak ke tanah dan rumah berpebalaian dan berpelantaran. Dan perahu larangan juga seperti perahu bertingkap dan berpengadapan. Dan berlarang juga bergelang kaki emas keroncong kepala perak sekalipun tiada dapat orang keluaran memakainya, jika kaya sekalipun melainkan dengan anugerah raja jua maka boleh. Dan lainnya daripada adat yang tentu kepada raja-raja dan kepada anak-anak raja jua. Dan jika mengadap raja di balairung, jika Raja Muda duduklah di seri balai, demikian lagi Bendahara dan Temenggung dan Indera Bungsu dan segala menteri-menteri daripada raja-raja di seri balailah kedudukannya. Dan lagi beberapa adat istiadat yang tersebut pada siarah yang panjang-panjang.”                                                                                                                                                        
                                                                                (Tuhfat al-Nafis, 1982: 5)

Petikan di atas menunjukkan kepada pembaca akan punca bagaimana tercetusnya adat istiadat dalam golongan diraja seperti penggunaan warna kuning yang dikhususkan untuk golongan diraja dan penggunaan balairung dan seri balai ketika mengadap sultan dan raja muda. Apa yang hendak disampaikan oleh pengarang adalah supaya pembaca melihat dan mengetahui akan adat istiadat dan seterusnya memberi gambaran bahawa terdapat keistimewaan tersendiri bagi golongan atasan atau raja pada ketika itu.  


FALSAFAH ETIKA DALAM NASKHAH TUHFAT AL-NAFIS



Etika merupakan teori yang berkaitan dengan tindakan, hujah dan tujuan yang mengarah kepada makna sesuatu tindakan. Etika adalah bukan yang bersangkutan dengan fakta atau fizikal manusia tetapi merupakan suatu falsafah moral yang mengambil kira tindakan atau tingkah laku manusia. Etika juga merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul.

Raja yang berjiwa rakyat merupakan salah satu tingkah laku yang merujuk kepada etika atau perilaku seseorang. Raja yang berjiwa rakyat merupakan raja yang sangat dihormati dan disayangi oleh rakyat jelata. Hal ini demikian kerana, raja yang merupakan golongan yang mempunyai darjat yang tinggi sanggup melupakan darjatnya dan ‘turun padang’ melihat kehidupan yang dilalui rakyatnya. Raja yang berjiwa rakyat ini turun ditonjolkan dalam karya Tuhfat al-Nafis yang dikarang oleh Raja Ali Haji. Contohnya adalah seperti berikut:

“Syahadan apabila mangkatlah Sultan Mansur Shah ini maka menggantikan kerajaannya puteranya Sultan Alauddin Riayat Syah. Adalah baginda itu sangat suka mengawali negeri pergi sambang malam dengan dirinya sendiri, dan beberapa kali ia membunuh penyamun dan pencuri dengan tangannya sendiri dan menghukumkan dengan adil dan bencikan orang yang jahat-jahat serta memeliharakan harta benda orang.”                                                                                                                                                                                    
                                                                                  (Tuhfat al-Nafis, 1982: 7)
Pengarang memaparkan kepada pembaca akan sikap seorang raja pada ketika itu yang suka melakukan kerja-kerja menjaga keselamatan rakyat tanpa bantuan orang lain. Selain itu, pengarang turut menyelitkan corak pemerintahan yang dibawa pada ketika itu merupakan corak pemerintahan yang adil yang diterajui oleh Sultan Alauddin Riayat Syah yang digambarkan oleh pengarang sebagai raja yang berjiwa rakyat dan mempunyai etika atau tingkah laku yang baik dan seharusnya dicontohi oleh pemimpin pada zaman sekarang yang mengutamakan rakyat daripada kepentingan peribadi.

Selain memaparkan tingkah laku seorang raja yang berjiwa rakyat, raja yang adil dan benci akan perbuatan yang melanggar norma hidup manusia, karya yang dikarang oleh Raja Ali Haji, iaitu Tuhfat al-Nafis pengarang turut menyelitkan akan tingkah laku seseorang kerabat diraja yang melanggar norm atau etika sebagai seorang manusia. Contohnya:

“Maka itu Sultan Pahang bernam Sultan Mansur Syah kerabat baginda itu juga. Maka tiada beberapa lama di Pahang pindahlah pula ia ke Johor, lalu membuat negeri di Johor. Syahadan puteranya Sultan Ahmad itu murah perangainya, akan tetapi tidak suka akan orang tua-tua serta dihina-hinakannya segala orang besar-besar, serta dilakukannya pekerjaan-pekerjaan yang bukan-bukan patut atas orang tua-tua dan orang besar-besar itu. Maka Sultan Mahmud pun murka lalu diracunnya puteranya itu, maka mangkatlah Sultan Ahmad Syah itu. Maka jadilah enam keturunan Raja-raja Melayu kerajaan di dalam negeri Melaka.”                                                                                          
                                                                                 (Tuhfat al-Nafis, 1982: 8-9)
Melalui petikan di atas, pengarang ingin pembaca berfikir dan membuat perbandingan antara dua etika, iaitu etika yang baik dan etika yang buruk. Petikan di atas menujukan kepada pembaca akan sikap yang dibawa atau ditunjukkan oleh Sultan Ahmad Syah yang mempunyai tingkah laku yang buruk dan sering menindas golongan yang berada di bawahnya. Sikap yang ditunjukkan oleh Sultan Ahmad telah membuatkan ayahandanya berasa kurang senang dan menimbulkan kemarahan baginda lalu baginda Sultan Mahmud mengambil tindakan dengan memberi racun kepada anakandanya sendiri.


Di sini jelas menunjukkan bahawa pemimpin yang memiliki sikap yang burut dan tidak beretika akan membuatkan orang di sekelilingnya berasa kurang enak dan seterusnya akan ditolak bukan sahaja oleh keluarga sendiri malahan oleh orang di sekelilingnya. Petikan ini menunjukkan perbezaan antara dua kerabat diraja yang memiliki sikap atau etika yang berbeza dan pengarang menunjukkan bagaimana penerimaan orang lain terhadap sikap yang dibawa oleh seseorang individu itu.