i.
Sistem Politik dan Kekuasaan
Raja atau sultan merupakan kedudukan yang paling
tinggi dalam struktur politik di negeri-negeri Melayu yang tidak mengamalkan
Adat Perpatih. Di bawahnya terdiri daripada kerabat diraja bergelar yang
berhak, mengikut giliran, mewarisi takhta kerajaan apabila raja atau sultan
mangkat. Seterusnya terdapat pembesar-pembesar yang memegang portfolio tertentu
iaitu penasihat raja dalam semua aspek pentadbiran negeri. Raja atau sultan
mempunyai hak keistimewaan dan kuasanya diperkukuhkan melalui konsep daulat dan
derhaka.
Raja atau sultan dalam negeri-negeri Melayu
diberi kuasa penuh dalam menentukan corak pemerintahan di negeri-negeri Melayu.
Pada zaman dahulu, corak pemerintahan negeri-negeri Melayu bercorak autokrat.
Baginda selalunya diakui sebagai lambang kesatuan rakyat dan sebagai ketua
negara. Sistem pertabalan baginda berdasarkan keturunan atau warisan. Anak
lelaki sulung akan dilantik sebagai raja sekiranya raja mangkat. Sekiranya raja
atau sultan tidak mempunyai waris, maka gelaran ini akan diturunkan kepada adik
lelakinya. Sekiranya kedua-dua ini tiada, maka gelaran ini diturunkan kepada
Raja Bendahara.
Lihat contoh di bawah:
a.
Politik
Hatta setelah empat puluh dua tahun umur Sultan
Muzaffar Syah di atas kerajaan, maka baginda pun mangkatlah. Maka anakanda
baginda Raja Abdullah, menggantikan ayahanda baginda.
(Sulalatus
Salatin, 1979: 96)
Setelah Sultan Ahmad sudah mangkat, maka oleh
Sultan Mahmud anakanda baginda Raja Muzaffarlah di timbangkan baginda akan
kerajaan...Tun Khoja Ahmad, anak Bendahara Lubuk Batu, dijadikan Sultan Mahmud
Bendahara, bergelar Paduka Raja, Tun Abu Ishak, anak Orang Kaya Tun Abu Sahid,
dijadikan Perdana Menteri, bergelar Seri Amar Bangsa.
(Sulalatus Salatin, 1979: 271)
b.
Kekuasaan (daulat dan derhaka)
Bendahara Paduka Raja pun berwasiatkan kepada
segala anak cucunya ... jangan kamu sekaliannya melupai daripada berbuat
kebaktian ... raja itu umpama dua buah permata pada sebentuk cincin; lagi pula
raja itu umpama ganti Pencipta (Allah) dalam dunia.
(Sulalatus Salatin, 1979: 190)
ii.
Perundangan
Bentuk dan pelaksanaan hukumannya adalah lebih
tegas dan keras, bertujuan menghukum serta berpegang kepada prinsip pembalasan
semata-mata. Oleh itu, pelaksanaan sesuatu hukuman dibuat dengan tegas agar dapat
memberi iktibar dan amaran kepada orang lain. Hukuman bunuh dikenakan atas
kesalahan berat seperti membunuh, mencuri, memfitnah dan menderhaka kepada
raja. Hukuman bunuh dilakukan oleh raja atau sultan sahaja. Lain-lain hukuman
boleh dilakukan oleh pembesar-pembesar.
Undang-undang atau peraturan yang diamalkan dalam
Adat Temenggung lebih memihak kepada golongan atasan atau pemerintah. Hal ini
bermaksud, sekiranya rakyat melakukan kesalahan yang sama dilakukan oleh
kerabat diraja, hukuman yang diterima oleh golongan rakyat lebih berat
berbanding hukuman yang dikenakan kepada kerabat diraja.
Beberapa contoh dapat ditemui dalam dua karya
agung iaitu Sulalatus Salatin dan Undang-undang Melaka yang mana peristiwa atau
catatannya dapat dikategorikan dalam Adat Temenggung. Contohnya, kita lihat di
bawah:
Maka titah baginda (Sultan Alau’d-Din) kepada
Seri Maharaja: Jikalau orang mendapat harta orang, jika tiada dipulangkannya
pada yang empunya, disuruh baginda kudung tangannya...
(Sulalatus
Salatin, 1979: 175)
Pada suatu malam Seri Maharaja berkawal, bertemu
dengan seorang pencuri, maka diparang oleh Seri Maharaja dengan pedang
bertupai, putus bahunya...
(Sulalatus
Salatin, 1979: 175)
Fasal yang kesebelas pada menyatakan hukum orang
mencuri. Adapun jikalau seseorang mencuri lagi dalam kampung itu, maka tahu
orang yang empunya itu, maka dibunuhnya, tiadalah lagi salah yang membunuh itu.
(Undang-undang Melaka, 2003: 113)
Contoh di atas menggambarkan bahawa hukuman yang
dikenakan seperti yang diamalkan dalam Adat Temenggung lebih keras dan tegas.
iii.
Perkahwinan
Aturan perkahwinan dalam Adat Temenggung banyak
didasari dengan hukum Islam. Ini sejajar dengan prinsip hukum syarak yang
mengiktiraf lelaki sebagai ketua keluarga. Lelaki dibenarkan kahwin dengan
sesiapa sahaja asalkan tidak bertentangan dengan hukum syarak. Sekiranya
mempunyai pertalian darah atau muhrim, perkahwinan dilarang. Contoh dalam karya
agung seperti:
“Jikalau ada perempuan berbapa atau bernini atau
saudaranya laki-laki, itulah akan walinya perempuan itu”
“...jauh wali itu daripada negeri sehari
semalam...maka haruslah hakim walinya”
“Ia yatim, itu pun hakim akan walinya itu”
“Adapun segala syarat ini, maka berlakulah hukum
nikah yang pada kitab Allah Ta’ala...”
(Undang-undang Melaka, 2003: 130)
Contoh-contoh di atas membuktikan bahawa
perkahwinan dilakukan berdasarkan agama Islam, sama seperti dalam kebiasaan
Adat Temenggung.
Sumber: Wan Nur Safira Bt Wan Mohd Nafiah et.al. (2013). Nilai Ilmu Dan Maklumat :
Ilmu Perdukunan, Ilmu Firasat, Jampi, Pengasih, Strata Masyarakat, Adat Istiadat, Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris
Tiada ulasan :
Catat Ulasan