Ramai ahli sejarah bersetuju yang agama Islam telah diperkenalkan
di Nusantara melalui perdagangan. Peranan pedagang Islam terutama di zaman
permulaan Islam di Nusantara amat penting sekali. Para pedagang dari Arab,
India, dan Parsi telah menumpukan kegiatan perdagangan di rantau ini semenjak
abad ke-8 atau ke-9 lagi. Manakala menurut catatan China, pedagang-pedagang
Islam sudah ada di kawasan perairan Melayu semenjak pertengahan abad ke-7 lagi.
Di antara barang-barang tersebut ialah lada, rempah, kemenyan dan terutamanya
kapur barus. Khusus tentang kapur barus, ia pernah dianggap sebagai punca yang
membawa orang-orang Arab ke Nusantara sejak awal lagi. Sebenarnya barang-barang
ini bukan sahaja dikehendaki oleh orang-orang Arab bahkan juga orang-orang
Barat.
Buku Tuhfat al-Nafis hasil karya Raja Ali Haji turut menyentuh
mengenai unsur-unsur keislaman terutamanya dalam golongan pemerintah. Apabila
unsur-unsur keislaman itu wujud dalam sesebuah karya agung itu, secara tidak
langsung memaparkan kepada pembaca akan pengaruh agama Islam mula wujud dan
seterusnya mempengaruhi penulisan pada ketika itu. Pengarang menyatakan Raja
Kecil Besar adalah raja Melayu yang pertama memeluk agama Islam dan digambarkan
Raja Kecil Besar mendapat hidayah ketika dalam tidur dan apabila bangun dari
tidur baginda mendapati zakarnya telah dikhatankan.
“Syahadan
apabila mangkatlah Raja Besar Muda itu maka menggantikan puteranya yang bernama
Raja Tengah. Syahadan apabila mangkatlah Raja Tengah itu maka menggantikan
kerajaannya puteranya yang bernama Raja Kecil Besar. Syahadan kata sahibul
hikayat inilah raja yang adil lagi saksama pada zaman itu, dan ialah Raja
Melayu yang mula-mula masuk ugama Islam, yang bermimpikan berjumpa hadrat Nabi
kita Muhammad salla Allahu ‘alaihi wasallam, yang diajar oleh Rasulullah salla
Allahu ‘alaihi wasallam, dengan mengucap dua kalimat syahadat, iaitu: asyhadu
al la ilaha illa’llahu, wa asyhadu anna Muhammadan Rasulu’llahi: serta terkejut
daripada tidurnya, dilihatnya zakarnya sudah terkhatan.”
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 4-5)
Selain itu juga, pengaruh Islam turut dipengaruhi oleh kehadiran
pedagang-pedagang luar seperti dari negara Arab. Pada waktu dahulu, kapal-kapal
dagangan bebas membawa barang-barang dagangannya dan berlabuh di pelabuhan yang
ada. Kesempatan berdagang inilah digunakan oleh pedagang untuk melebar luaskan
pengaruh atau fahaman mereka. Kehadiran pedagang dari luar yang secara tidak
langsung melebar luaskan pengaruh Islam turut diselitkan oleh pengarang dalam
Tuhfat al-Nafis. Misalnya:
“Maka
pada pagi hari ia berangkat ke pantai melihat kapal datang dari Jeddah. Maka
turunlah orangnya sembahyang di tepi pantai itu dilihatnya seperti yang di
dalam mimpinya. Maka raja itu pun menderumkan gajahnya lalu diambilnya orang
yang sembahyang itu dibawanya naik ke atas gajahnya, iaitu Syekh Makhdum
namanya, lalulah dibawanya masuk ke dalam kotanya. Maka belajarlah ia akan
ugama Islam. Maka masuk Islam segala orang besar-besarnya dan segala isi negeri
Melaka itu. Maka baginda itu pun bergelarlah Sultan Muhammad Syah.”
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 5)
Petikan di atas menunjukkan kepada pembaca bagaimana permulaan
agama Islam masuk ke Alam Melayu dan seterusnya tersebar luas. Pembaca juga
dapat mengetahui bahawa pada mulanya agama Islam berkembang dalam golongan
atasan atau istana dan barulah merebak pada rakyat tempatan. Di sinilah peranan
pengarang dapat dilihat dalam menyampaikan maklumat akan kehadiran agama Islam
pada ketika itu melalui karya Tuhfat al-Nafis. Agama Islam pada ketika itu
menunjukkan pengaruh yang kuat di mana pihak pemerintah, iaitu raja atau sultan
bertindak membanteras golongan yang membawa ajaran sesat pada ketika itu. Pada
zaman pemerintahan Sultan Mahmud di negeri Lingga, telah muncul seorang lebai
dari Minangkabau, iaitu Lebai Tamat. Pada mulanya Sultan Mahmud menerima
kehadiran lebai itu kerana menganggap lebai tersebut akan menyampaikan ajaran
Islam.
“…maka
datang seorang lebai orang Minangkabau ke negeri Lingga, namanya Lebai Tamat.
Maka mengaku dirinya orang alim pada ilmu hakikat mengajarlah ia akan
sesetengah orang Lingga akan ilmu hakikat, dinamakan ilmunya itu ‘Isa’ konon,
dan banyaklah perkataan syathiyat, hingga akhir-akhirnya pekerjaannya jatuhlah
seperti i’tiqad mulhid mengaku dirinya Allah taala. Maka banyaklah murid mengikut i’tiqad…”
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 261)
Namun, pada ketika itu Sultan Mahmud tidak mengetahui akan perkara
tersebut berlaku dalam negerinya. Pegawai-pegawai negeri Lingga telah
menyampaikan masalah tersebut pada adinda Sultan Mahmud, iaitu Yang Dipertuan
Muda Raja Jaafar.
“…datanglah
segala pegawai-pegawai negeri Lingga itu memaklumkan kepada Yang Dipertuan
Muda, maka murkalah Yang Dipertuan Muda. Maka lalu Lebai Tamat itu dengan
segala murid-muridnya ditaubatkan serta ditakzir digondolkan kepalanya.
Kemudian daripada itu, maka lebai itu pun keluarlah dari Lingga…”
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 261)
Namun perkara tersebut tidak berhenti di situ sahaja, Lebai Tamat
telah pergi ke Lampung dan membawa ajaran sesat yang sama. Perkara tersebut
telah dapat dihidu oleh Sultan Mahmud lalu baginda mengarahkan adindanya Yang
Dipertuan Muda Raja Jaafar membunuh lebai tersebut dengan mengadakan
perancangan yang strategik.
“Maka
sampailah khabar itu kepada Sultan Mahmud, maka bertambah-tambah murka baginda
itu akan lebai itu. Maka lalu baginda berkirim surat kepada paduka adinda Yang
Dipertuan Muda Raja Jaafar minta bunuh juga Lebai Tamat itu.”
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 262)
Raja Jaafar telah mengikut perancangan yang dilakukan oleh Sultan
Mahmud untuk menangkap Lebai Tamat dan menjatuhkan hukuman bunuh kerana
menyebarkan ajaran songsang di serata tempat.
“Maka
apabila hampir ke darat maka ditangkaplah oleh orang yang disuruh Yang
Dipertuan Muda itu lalu diikat dan didepangkan tangannya. Kemudian lalulah
disuruh bunuh dikerat kepalanya dikirimkan kepada Sultan Mahmud di Lingga. Maka
habislah kisah Lebai Tamat yang tersebut itui intiha.”
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 263)
Petikan dari naskhah Tuhfat al-Nafis itu telah menunjukkan bahawa
pemerintah pada ketika itu amat mementingkan pegangan agama. Dapat dilihat
bagaimana Sultan Mahmud dan Yang Dipertuan Muda berusaha untuk membanteras
kegiatan ajaran sesat dan bagaimana tindakan yang diambil bagi menangani
masalah tersebut. Baginda pada mulanya menggunakan cara yang lembut dengan
meminta golongan tersebut bertaubat dan keluar dari negeri Lingga akan tetapi
golongan tersebut masih meneruskan kegiatan seperti itu di tempat lain dan
akhirnya baginda telah mengambil tindakan yang sewajarnya iaitu menjatuhkan
hukuman bunuh kepada pembawa ajaran sesat tersebut.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan