Terjemahan

PENGIKUT

Rabu, 29 Mei 2013

JAMPI


Jampi menurut Kamus Dewan (2010), membawa makna kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian. Jampi juga dikenali sebagai mantera. Mana Sikana (1996) pula berpendapat bahawa jampi serapah tidak hanya sekadar penglahiran perasaan seperti puisi. Ia ada hubungannya dengan kejiwaan dan sistem kepercayaan. Jampi dikatakan sebagai sesuatu yang dibaca untuk memberi kesaktian terutamanya pada perubatan. Pawang sebagai pembaca jampi adalah manusia yang luar biasa dan disifatkan sebagai manusia perantaraan makhluk dengan Khaliq atau supernatural.

Kedudukan pawang dalam hierarki kemasyarakatan adalah jelas. Jampi mantera yang diucapkan telah mendapat tempat yang istimewa. Jampi mempunyai unsur-unsur pemujaan, perubatan, kasih sayang, pendinding dan berhubung dengan psikologi manusia. Biasanya pawang, dukun, bomoh atau orang yang memakainya tidak begitu mudah memberikan jampi serapahnya kepada orang lain. Mereka bimbang jampi serapah yang diketahui itu tidak mujarab lagi, melainkan orang yang sudah menuntut dan orang lain tidak boleh menggunakannya. Jika digunakan juga dia akan menerima padahnya.

Satu hal yang menarik ialah jampi biasanya disampaikan dalam bahasa Banjar. Penjelasan tersebut jelas menunjukkan bahawa kepercayaan yang masih sebati terhadap kuasa ghaib seperti yang terdapat dalam jampi. Jampi-jampi dikatakan boleh diwarisi oleh orang tertentu. Menurut Mana Sikana (1996), jampi mempunyai tiga jenis, iaitu jampi menolak syaitan, jampi tawar biasa dan seterusnya ialah jampi pendinding. Jampi yang pertama dan ketiga ialah jampi jenis larangan, manakala jampi yang kedua ialah jampi jenis perubatan.

Jampi menolak syaitan digunakan untuk menghalau sekalian jenis jin. Jampi ini juga digunakan untuk mengubat penyakit yang berkaitan dengan makhluk halus tersebut. Jampi menolak syaitan ini boleh sahaja digunakan pada bila-bila masa yang dirasakan perlu. Contohnya, jampi ini boleh digunakan ketika seseorang berjalan di tempat yang sunyi atau apabila berasa takut dan boleh juga digunakan apabila dirasakan diri diganggu oleh sesuatu. Cara menjampinya adalah seseorang itu perlu memandang tegak ke hadapan. Selepas sekali dibaca, hendaklah ditiup ke kiri dan ke kanan sebanyak tiga kali. Jampi ini perlu dibaca sebanyak tiga kali berturut-turut. Contoh yang terdapat dalam karya agung ialah:

“Permulaan kata aku menyatakan
Hakikat jin seribu empat puluh dua lagi
Aku tahu akan asal usul dirimu
Asal diri jadi di huruf Alif
… dengan berkat La ilaha illallah”
 (Kitab Tib 1292)

Jampi tawar bisa pula boleh digunakan untuk kesakitan serius seperti digigit ular berbisa dan boleh membawa maut atau kebakaran yang boleh mencacatkan. Jampi ini boleh digunakan dengan dua cara, iaitu yang pertama ialah dengan cara menjampi terus pada tempat yang sakit. Selepas pembacaan, hendaklah ditiup pada tempat yang sakit tersebut dan sebaik-baiknya pesakit haruslah duduk di tempat yang arahnya menerima angin kerana dipercayai bahawa angin tersebut mampu menolong mencabut bisa yang ditanggungnya. Cara yang kedua pula ialah dengan cara pembacaan ke dalam air. Selepas dijampi, air tersebut perlulah diminum, di mandi atau disapukan ke kepala. Air tersebut tidak boleh dilangkah terutama sekali oleh kucing. Air itu perlu disimpan di tempat yang tinggi dan tidak boleh diletakkan di dalam peti sejuk. Sebaik-baiknya, air itu ialah air hujan yang ditadah dan turun betul-betul dari langit serta tidak tersangkut di mana-mana lagi sebelumnya.

Jampi pendinding adalah jampi jenis yang cukup dominan dalam masyarakat Melayu. Jampi jenis ini boleh dikatakan dipelajari dan dipakai oleh kebanyakan orang Melayu sebagai alat pengebal atau mempertahankan diri daripada perbuatan orang, baik secara halus ataupun terang. Jampi ini boleh digunakan dengan cara meminum air yang telah dijampi atau jampi tersebut boleh ditulis di atas kertas lalu dipakai sebagai azimat. Namun, azimat tersebut tidak boleh dibawa ke tempat kotor dan tidak boleh berniat jahat. Jampi ini berfungsi sebagai pendinding diri kerana niat jahat, hasad, fitnah dan sebagainya tidak akan sampai kepada pengamalnya, malah dalam beberapa keadaan perbuatan jahat itu tadi akan kembali kepada si pelaku itu semula.

Perkara-perkara yang berkaitan dengan jampi juga ada sedikit sebanyak disebut dalam karya-karya agung seperti Hikayat Abdullah, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Seri Kelantan dan lain-lain lagi. Contohnya ialah:
“Pawang ini pandai sungguh, sebab membaca-bacakannya, gajah itu pun takut akan dia”.
      (Hikayat Abdullah: 55)

Ayat tersebut membuktikan bahawa pengarang Hikayat Abdullah ada menceritakan tentang jampi dan jampi itu bermaksud pawang yang diceritakan itu sungguh pandai kerana mampu menjinakkan gajah dengan hanya menjampinya sahaja. Contoh yang kedua ialah jampi Tuan Puteri Sa’dong menyebabkan Kota Jelasin dan rakyat ghaib lalu jatuh ke dalam Cerang Bahana yang kemudian diberi nama Mahligai.

“Maka jogi itu pun pengsan sebab daripada keramat sultan itu”.
(Hikayat Raja Pasai: 35)

Berdasarkan ayat di atas, jelaslah bahawa jampi juga ada diceritakan dalam Hikayat Raja Pasai. Hal ini kerana ayat tersebut menunjukkan bahawa jogi itu pengsan disebabkan sultan tersebut mempunyai tongkat sakti atau tongkat yang telah dijampi. Contoh seterusnya ialah:

“Hai sahabat, jangan mu duduk menggoda dan menyiksa pada mulut manusia kerana mulut manusia itu tempat puji Allah dan puji Muhammad…”
 (Kitab Tib 1078: 65)

Jampi di atas ialah contoh jampi sahabat. Jampi ini merupakan jampi yang jenis nasihat ke arah kebaikan. Jampi ini boleh digunakan kerana ia tidak bertentangan dengan syariat tidak boleh memesongkan akidah.



SumberWan Nur Safira Bt Wan Mohd Nafiah et.al. (2013). Nilai Ilmu Dan Maklumat :
Ilmu Perdukunan, Ilmu Firasat, Jampi, Pengasih, Strata Masyarakat, Adat Istiadat, Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris


Tiada ulasan :