Etika merupakan teori yang berkaitan dengan tindakan, hujah dan
tujuan yang mengarah kepada makna sesuatu tindakan. Etika adalah bukan yang
bersangkutan dengan fakta atau fizikal manusia tetapi merupakan suatu falsafah
moral yang mengambil kira tindakan atau tingkah laku manusia. Etika juga
merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah
moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul.
Raja yang berjiwa rakyat merupakan salah satu tingkah laku yang
merujuk kepada etika atau perilaku seseorang. Raja yang berjiwa rakyat
merupakan raja yang sangat dihormati dan disayangi oleh rakyat jelata. Hal ini
demikian kerana, raja yang merupakan golongan yang mempunyai darjat yang tinggi
sanggup melupakan darjatnya dan ‘turun padang’ melihat kehidupan yang dilalui
rakyatnya. Raja yang berjiwa rakyat ini turun ditonjolkan dalam karya Tuhfat
al-Nafis yang dikarang oleh Raja Ali Haji. Contohnya adalah seperti berikut:
“Syahadan
apabila mangkatlah Sultan Mansur Shah ini maka menggantikan kerajaannya
puteranya Sultan Alauddin Riayat Syah. Adalah baginda itu sangat suka mengawali
negeri pergi sambang malam dengan dirinya sendiri, dan beberapa kali ia membunuh
penyamun dan pencuri dengan tangannya sendiri dan menghukumkan dengan adil dan
bencikan orang yang jahat-jahat serta memeliharakan harta benda orang.”
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 7)
Pengarang memaparkan kepada pembaca akan sikap seorang raja pada
ketika itu yang suka melakukan kerja-kerja menjaga keselamatan rakyat tanpa
bantuan orang lain. Selain itu, pengarang turut menyelitkan corak pemerintahan
yang dibawa pada ketika itu merupakan corak pemerintahan yang adil yang
diterajui oleh Sultan Alauddin Riayat Syah yang digambarkan oleh pengarang
sebagai raja yang berjiwa rakyat dan mempunyai etika atau tingkah laku yang
baik dan seharusnya dicontohi oleh pemimpin pada zaman sekarang yang
mengutamakan rakyat daripada kepentingan peribadi.
Selain memaparkan tingkah laku seorang raja yang berjiwa rakyat,
raja yang adil dan benci akan perbuatan yang melanggar norma hidup manusia,
karya yang dikarang oleh Raja Ali Haji, iaitu Tuhfat al-Nafis pengarang turut
menyelitkan akan tingkah laku seseorang kerabat diraja yang melanggar norm atau
etika sebagai seorang manusia. Contohnya:
“Maka
itu Sultan Pahang bernam Sultan Mansur Syah kerabat baginda itu juga. Maka
tiada beberapa lama di Pahang pindahlah pula ia ke Johor, lalu membuat negeri
di Johor. Syahadan puteranya Sultan Ahmad itu murah perangainya, akan tetapi
tidak suka akan orang tua-tua serta dihina-hinakannya segala orang besar-besar,
serta dilakukannya pekerjaan-pekerjaan yang bukan-bukan patut atas orang
tua-tua dan orang besar-besar itu. Maka Sultan Mahmud pun murka lalu diracunnya
puteranya itu, maka mangkatlah Sultan Ahmad Syah itu. Maka jadilah enam
keturunan Raja-raja Melayu kerajaan di dalam negeri Melaka.”
(Tuhfat al-Nafis, 1982: 8-9)
Melalui petikan di atas, pengarang ingin pembaca berfikir dan
membuat perbandingan antara dua etika, iaitu etika yang baik dan etika yang
buruk. Petikan di atas menujukan kepada pembaca akan sikap yang dibawa atau
ditunjukkan oleh Sultan Ahmad Syah yang mempunyai tingkah laku yang buruk dan
sering menindas golongan yang berada di bawahnya. Sikap yang ditunjukkan oleh
Sultan Ahmad telah membuatkan ayahandanya berasa kurang senang dan menimbulkan
kemarahan baginda lalu baginda Sultan Mahmud mengambil tindakan dengan memberi
racun kepada anakandanya sendiri.
Di sini jelas menunjukkan bahawa pemimpin yang memiliki sikap yang
burut dan tidak beretika akan membuatkan orang di sekelilingnya berasa kurang
enak dan seterusnya akan ditolak bukan sahaja oleh keluarga sendiri malahan
oleh orang di sekelilingnya. Petikan ini menunjukkan perbezaan antara dua
kerabat diraja yang memiliki sikap atau etika yang berbeza dan pengarang
menunjukkan bagaimana penerimaan orang lain terhadap sikap yang dibawa oleh
seseorang individu itu.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan