Menurut Kamus Dewan (2008),
menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka
(badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Tilikan atau
ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat. Menurut Sulastin
Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui
lebih dahulu segala sesuatu yang akan berlaku. Melalui ilmu firasat juga
seseorang itu dapat mengetahui kelemahan atau kekuatan orang lain, antaranya
berdasarkan nama, haru atau ketika. Hal ini penting terutama dalam kalangan
pahlawan-pahlawan kerana dengan itu ia boleh membantu mereka menewaskan musuh.
Sejarah Melayu
memaparkan dengan jelas perkara tersebut dalam episod serangan Melaka ke atas
Pahang. Bendahara Paduka Raja memerintahkan pahlawan-pahlawannya mengejar
Maharaja Dewa Sura yang melarikan diri. Dalam usaha itu Seri Bija Diraja tidak
tergesa-gesa seperti orang lain kerana dia tahu musuhnya itu tidak akan
terlepas dari tangannya. Ini dapat dilihat daripada kata-kata beliau kepada
anak buahnya.
Di
mana kamu semua orang muda-muda tahu? Kerana Maharaja Dewa Sura ini sudah aku
kira-kirakan namanya di bawah namaku, dan harinya di bawah hariku dan ketikanya
di bawah ketikaku, di mana ia akan lepaskan daripada tanganku?
(Sejarah Melayu :74)
Berdasarkan
contoh petikan di atas, ramalan Seri Bija Diraja itu memang tepat. Beliaulah
yang telah berjaya menangkap Maharaja
Dewa Sura.
Dalam
Hikayat Hang Tuah juga disebutkan tentang pengamalan ilmu firasat. Amalan ilmu
firasat ini dapat dilihat sewaktu Raja Melaka hendak berangkat ke Majapahit
untuk berkahwin dengan puteri negeri tersebut. Masa yang dipilih oleh Raja
Melaka dipersetujui oleh Hang Tuah kerana menurutnya ketika tersebut (hari Ahad
malam Isnin) adalah waktu yang geroda dikalahkan oleh seekor ular. Kiasan itu
membawa erti, orang atau pihak yang kuat dan besar dapat ditewaskan oleh orang
atau pihak yang lebih kecil. Ramalan Hang Tuah itu ternyata tepat apabila
beliau dan rombongan tersebut beroleh kejayaan di Majapahit. Beliau dan
rakan-rakannya dapat mengetahui segala tipu helah serta percubaan membunuhnya
oleh pembesar dan perajurit negeri itu.
Kepercayaan
kepada ilmu firasat mungkin boleh dikaitkan dengan konsep ‘memilih ketika’
dalam kalangan masyarakat Melayu. Umpamanya dalam seminggu terdapat hari-hari
tertentu yang baik dan buruk serta sial. Begitu juga dengan bulan-bulan
tertentu dalam masa setahun. Oleh yang demikian, mereka yang memilih ketika yang
baik untuk memulakan sesuatu pekerjaan
atau rancangan seperti mendirikan rumah, mengerjakan sawah dan memulakan
perjalanan untuk merantau. Bagi mereka, ‘memilih ketika’ itu penting untuk
mengelakkan daripada bencana atau sebarang keburukan.
Di
Acheh, waktu Pencagah atau Iskandar Muda Mahkota Alam dalam kandungan, ibunya
bermimpi bersanggulkan bulan yang dihiasi buang air kecil yang terlalu banyak
sehingga menjadi laut. Dalam mentafsir mimpi itu, Fakih Khoja Manassiah
berpendapat :
Tuanku, adapun takbir mimpi sultan itu Insya-Allah
taala (tak dapat) tiadalah daripada zuriat sultan menjadi raja yang maha kuasa
lagi terlalu besar gahnya lagi mengempukkan segala raja-raja daripada segala
pihak Timur dan daripada segala pihak Barat. Dan paduka anakanda itulah melimpahkan
takhta adilnya dan ialah matahari yang betak (tetap) di bumi musyrik ini.
(“De Hikajat Atjeh” :115)
Manakala
di negeri Pahang pula terdapat ramalan yang dibuat oleh Habib Abdullah dari
Makkah. Beliau yang memberi nama kepada Tun Ahmad, berpendapat bahawa anak
Bendahara Ali yang baru dilahirkan itu akan menjadi seorang yang baik, bertuah
serta besar daulatnya. Sebagaimana ramalan-ramalan lain, ramalan Fakih Khoja
Manassiah dan Habib Abdullah juga menjadi kenyataan.
....
Sampai sepuluh bulan genap, masuk bulan sebelas bersalinlah. Ketika itu
berbetulan Habib Abdullah ibni Omar al-Attas, yang keramat besar, ialah yang
yang menyambut dan bang, teruslah dinamakan (nya) Tun Ahmad. Maka ia pun
berdatang menyembah pada raja iaitu, “Ya Maulana, anak maulana ini banyak baik,
yakni besar suhudnyabertuah lebih daulatnya kelak.” Maka ia pun baliklah. Tiada
berapa lama (nya) keluar dari Pahang balik ke Arab.
(Hikayat
Pahang :5)
Dalam
historiografi Melayu tradisional lain, unsur mimpi turut memainkan peranan
penting. Di dalam Fasal 13, Bab II Bustan al-Salatin ini pun, unsur mimpi
dikemukakan walaupun dalam dua episod sahaja. Nuruddin menceritakan bahawa
Sultan Iskandar Muda telah bermimpi tentang air persiraman puterinya dan Iskandar Thani. Sultan Iskandar
Muda teah bermimpi pada malam Isnin, 12 Jamadilakhir, iaitu turun sebuah
mahligai daripada cahaya dengan perhiasannya berisi air mandi dibawa oleh
malaikat dari langit. Malaikatlah yang memandikan kedua-dua pasangan muda itu.
Esoknya Sultan Iskandar Muda menitahkan bahawa mereka tidak perlu lagi
dimandikan oleh Syeikh Syamsuddin dan Kadi Malik al-Adil. Petikannya :
Maka
pada pagi-pagi hari sabda Raja Iskandar Muda kepada nenda Raja Serba Bawa,
“Katakan kepada bondakuku Syah Alam, janganlah bersusah lagi memandikan anankku
kedua! Sudahlah mandi keduanya daripada air yang turun dari kudrat Allah
Taa’la!
(Bustan Al-Salatin :18)
Mimpi
yang kedua ialah yang muncul dalam tidur seorang pembuat batu nisan. Setelah
Sultan Iskandar Thani mangkat, baginda digelar Marhum Dar al-Salam.
Permaisurinya yang menjadi sultan memerintahkan juru batu nisan mencipta satu
batu nisan yang terbaik untuk suaminya. Masa itulah Marhum Mahkota Alam muncul
di dalam mimpi juru batu supaya melebihkan
perbuatan batu itu pada makam Marhum Dar al-Salam. Petikannya adalah
seperti berikut :
Syahadan
adalah yang mengadap Raja Nisyan itu orang berpedang suasa. Maka pada suatu
malam ia bermimpi Paduka Marhum Mahkota Alam bersabda kepadanya dengan kahar,
Hai segala pandai, kamu lebihkanlah perbuatan batu ini daripadaku.
(Bustan Al-Salatin : 45)
Kedua-dua
mimpi ini mempengaruhi tindakan-tindakan secara sedar orang-orang yang terlibat
dalam episod-episod berkenaan. Nyata dalam Fasal 13 ini, unsur mimpi tidak
dianggap sebagai membawa makna sesuatu atau perlu dibuat interprestasi tetapi
merupakan komunikasi langsung daripada satu pihak di dunia tidak nyata kepada
pihak di dunia nyata.
Ilmu
firasat juga dilakukan terhadap binatang. Hal ini disebutkan dalam hikayat
Melayu iaitu Hikayat Raja Pasai. Berikutan itu, anjing diberikan penghormatan
oleh Raja-raja Melayu zaman terdahulu. Anjing memainkan peranan penting
sehingga tertubuhnya sesebuah negeri. Dalam Hikayat Raja Pasai, penemuan negeri
Pasai juga dikaitkan dengan anjing perburuan Merah Silu (sesudah memeluk Islam,
bergelar Sultan Malikul Saleh). Anjing perburuan itu telah menyalak di sebuah
tanah tinggi tanpa henti. Sultan Malikul Saleh kemudian berasakan bahawa tempat
itu sesuai dibuat negeri lalu dinamakan tempat itu Pasai, sempena nama anjing
perburuan tadi. Contoh petikan :
Maka
tersebutlah perkataan Merah Silau di Rimba Jerana itu. Sekali persetua pada
suatu hari Merah Silau pergi berburu. Maka ada seekor anjing dibawanya akan
perburuan Merah Silau itu bernama Si Pasai. Maka dilepaskannya anjing itu, lalu
ia menyalak di atas tanah tinggi itu. Maka dilihatnya ada seekor semut besarnya
seperti kucing. Maka ditangkapnya oleh Merah Silau maka lalu dimakannya. Maka
tanah tinggi itu pun disuruh Merah Silau tebasi pada segala orang yang sertanya
itu. Maka setelah itu diperbuatnya akan istananya ...
(Hikayat
Inderaputera :13)
Sumber: Wan Nur Safira Bt Wan Mohd Nafiah et.al. (2013). Nilai Ilmu Dan Maklumat :
Ilmu Perdukunan, Ilmu Firasat, Jampi, Pengasih, Strata Masyarakat, Adat Istiadat, Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris
Tiada ulasan :
Catat Ulasan