Terjemahan

PENGIKUT

Rabu, 29 Mei 2013

STRATA MASYARAKAT MELAYU


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), strata juga membawa maksud yang sama bagi stratifikasi, iaitu pembahagian masyarakat kepada beberapa lapisan atau kelas yang berlainan, susun lapis masyarakat, pembahagian kepada atau pembentukan strata. Sulalat al-Salatin telah memaparkan gambaran tentang susun lapis masyarakat Melayu yang pada umumnya dapat dikategorikan kepada beberapa peringkat.
Rajah: Susun lapis masyarakat Melayu

Golongan diraja dan kerabat menduduki susun lapis yang teratas. Di Melaka dengan mengambil contoh semasa pemerintahan Sultan Muhammad Syah, golongan raja terdiri daripada sultan dan keluarganya (Sulalat al-Salatin: 65). Kuasa pemerintahan adalah terletak di bawah baginda. Seseorang raja didakwa mempunyai kepintaran serta keistimewaan tertentu sebagai raja yang berdaulat.

Golongan bangsawan menduduki tangga yang kedua. Golongan ini pula terdiri daripada pembesar dan pegawai tadbir seperti Bendahara, Laksamana, Penghulu Bendahari, Perdana Menteri, Temenggung, Bentara, Syahbandar. Terdapat juga dalam kalangan pendatang yang tergolong dalam golongan bangsawan ini. Antaranya ialah ulama Islam yang terdiri daripada tuan-tuan sayid, makhdum, maulana, dan kadi. Hubungan mereka dengan raja sangat erat. Seseorang tokoh ulama begitu disanjung dan dihormati oleh masyarakat Melaka. Sultan Melaka sendiri terpaksa tunduk dan menghormati golongan ulama ini. Hal ini terjadi apabila seorang guru bernama Kadi Yusof enggan membenarkan Sultan Mahmud Syah mengadap dengan menaiki gajah (Sulalat al-Salatin: 161) .

Susun lapis yang ketiga ialah golongan rakyat biasa yang merdeka. Golongan ini terdiri daripada pedagang, tukang-tukang mahir, petani dan juga saudagar. Dalam hal ini, terdapat juga dalam kalangan saudagar yang mempunyai hubungan erat dengan golongan atasan seperti Raja Mendeliar, Nina Sura Dewana, Kitul sebagainya. Kitul dapat dikatakan rapat dengan Raja Mendeliar kerana mempunyai hutang dengan Raja Mendeliar, namun Kitul telah menyampaikan fitnah bahawa Nina Sura Dewan pergi berjumpa dengan Benhara Seri Maharaja untuk merancang pembunuhan ke atasnya. Secara tidak langsung, Raja Mendeliar menghapuskan hutang Kitul terhadapnya (Sulalat al-Salatin: 204). Ketua kapal atau nakhoda juga mempunyai keistimewaan kerana dianggap sebagai raja di atas kapal.

Golongan hamba susun lapis masyarakat yang paling bawah dalam struktur atau susun lapis masyarakat Melayu. Golongan hamba terdiri daripada hamba raja, hamba berhutang dan hamba abdi. Sulalat al-Salatin jelas menunjukkan institusi ini wujud sebelum tertubuhnya Kesultanan Melayu Melaka. Ini dapat dilihat pada Badang yang telah diterima sebagai pahlawan Singapura yang sebelum ini ditugaskan oleh tuannya untuk membersihkan hutan. Kekuatannya itu telah mengubah status sosialnya daripada seorang hamba kepada rakyat biasa yang merdeka (Sulalat al-Salatin : 37). Tun Mutahir dikata mempunyai bilangan hamba yang banyak sehingga tidak dikenalinya  (Sulalat al-Salatin: 203).

Sumber: Wan Nur Safira Bt Wan Mohd Nafiah et.al. (2013). Nilai Ilmu Dan Maklumat :
Ilmu Perdukunan, Ilmu Firasat, Jampi, Pengasih, Strata Masyarakat, Adat Istiadat, Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris


Tiada ulasan :