Terjemahan

PENGIKUT

Jumaat, 31 Mei 2013

TUHFAT AL-NAFIS



Tuhfat al-Nafis dikarang pada 3 Syaaban 1282H, iaitu bersamaan 1865M. Tuhfat al-Nafis dapat dikatakan sebagai lanjutan daripada Salasilah Melayu dan Bugis. Tuhfat al-Nafis merupakan naskhah yang paling terkenal daripada semua karangan Raja Ali Haji. Kandungannya dimulakan dengan menjelaskan sejarah Singapura, Melaka dan Johor yang kemudian dilanjutkan tentang Riau yang dikalahkan oleh Belanda. Selain itu, Tuhfat al-Nafis menghuraikan secara terperinci akan kejadian-kejadian bersejarah mulai tahun 1677M hingga ke tahun disusunnya naskhah itu (1282H/1865M).


Dipaparkan dengan hebat kisah datuknya Raja Haji, iaitu putera Opu Daeng Cellak sehingga beliau mangkat di Teluk Ketapan, Melaka. Naskhah Tuhfat al-Nafis pernah diterbitkan oleh R. O. Winstedt dalam tahun 1932, dimuat dalam JMBRAS, dalam tahun 1965 oleh Malaysia Publication di Singapura dengan edisi tulisan Rumi/Latin, dan Tuhfat Al-Nafis Sejarah Melayu-Islam merupakan transliterasi oleh Virginia Matheson Hooker diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1991. Bagaimanapun, ada sarjana yang berpendapat kitab Tuhfat al-Nafis bukan hasil penulisan Raja Ali Haji tetapi hasil penulisan ayahnya Raja Haji Ahmad yang terkenal itu.

FALSAFAH DALAM BUSTAN AL-KATIBIN



Ilmu pengetahuan tentang kewujudan Allah S.W.T sebenarnya berkait rapat dan langsung dengan ikrar seorang Muslim dalam kalimah syahadahnya iaitu:
                        “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah”

Oleh itu bagi Raja Ali Haji, ilmu yang utama dan wajib dipelajari ialah ilmu  tentang Allah S.W.T. Matlamat utama dalam pengajian dan pembelajaran bahasa bukan sahaja mengetahui binaan bahasa, bunyi dan ejaannya, perkataan, kosa kata, binaan ayat, klausa dan sebagainya malah lebih daripada itu iaitu mempelajari cara untuk menggunakan bahasa supaya tercapai ilmu yang benar bagi membimbing manusia ke arah keredhaan Allah.

            Di dalam kitab ini juga, Raja Ali Haji mengatakan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa umat Islam terulung di Asia Tenggara. Melalui kitab ini, beliau dapat mewujudkan penghuraian tentang bahasa Melayu yang tepat, padat, ringkas, dan rapi dari segi ejaan dan tata bahasanya yang mewakili sistem medan makna yang diberikan takrif yang jelas berdasarkan autoriti al-Quran dan al-Hadith.

            Berdasarkan kepada pandangan dan hujahan beliau di dalam bukunya, jelaslah bahawa pandangan Raja Ali Haji tentang pengajian, penggunaan dan pembelajaran bahasa Melayu berkait rapat dengan pandangan sejagat beliau sebagai orang Melayu Islam yang melihat hakikat kewujudan dan kejadian alam semesta dan manusia di dalam lingkungan Tuhan. 

            Raja Ali Haji dalam kitabnya turut menerangkan kaedah menulis surat kiriman rasmi yang telah menjadi salah satu daripada budaya atau adab orang Melayu Islam. Surat kiriman ini mengukuhkan dan mengesahkan lagi darjat dan martabat ilmu yang membawa kepada kesahihan dan kebenaran ilmu dalam Islam. Beliau dalam tulisannya menerangkan kaedah menulis surat seperti di bawah:

Bermula perkataan pada surat perkiriman itu, maka hendaklah dimulai dengan bismillahirrahman nirrahim dan kemudian Alhamdulillah iaitu memuji-muji Allah Ta’ala mana yang munasabah dan waqi’…kemudian selawatkan Nabi kita serta keluarganya dan sahabatnya, dan kemudian baharulah diiringi dengan salam ta’zim…pada orang-orang yang berkirim dan orang yang dikirim.


FALSAFAH KEISLAMAN DALAM NASKHAH TUHFAT AL-NAFIS



Ramai ahli sejarah bersetuju yang agama Islam telah diperkenalkan di Nusantara melalui perdagangan. Peranan pedagang Islam terutama di zaman permulaan Islam di Nusantara amat penting sekali. Para pedagang dari Arab, India, dan Parsi telah menumpukan kegiatan perdagangan di rantau ini semenjak abad ke-8 atau ke-9 lagi. Manakala menurut catatan China, pedagang-pedagang Islam sudah ada di kawasan perairan Melayu semenjak pertengahan abad ke-7 lagi. Di antara barang-barang tersebut ialah lada, rempah, kemenyan dan terutamanya kapur barus. Khusus tentang kapur barus, ia pernah dianggap sebagai punca yang membawa orang-orang Arab ke Nusantara sejak awal lagi. Sebenarnya barang-barang ini bukan sahaja dikehendaki oleh orang-orang Arab bahkan juga orang-orang Barat.

Buku Tuhfat al-Nafis hasil karya Raja Ali Haji turut menyentuh mengenai unsur-unsur keislaman terutamanya dalam golongan pemerintah. Apabila unsur-unsur keislaman itu wujud dalam sesebuah karya agung itu, secara tidak langsung memaparkan kepada pembaca akan pengaruh agama Islam mula wujud dan seterusnya mempengaruhi penulisan pada ketika itu. Pengarang menyatakan Raja Kecil Besar adalah raja Melayu yang pertama memeluk agama Islam dan digambarkan Raja Kecil Besar mendapat hidayah ketika dalam tidur dan apabila bangun dari tidur baginda mendapati zakarnya telah dikhatankan.

“Syahadan apabila mangkatlah Raja Besar Muda itu maka menggantikan puteranya yang bernama Raja Tengah. Syahadan apabila mangkatlah Raja Tengah itu maka menggantikan kerajaannya puteranya yang bernama Raja Kecil Besar. Syahadan kata sahibul hikayat inilah raja yang adil lagi saksama pada zaman itu, dan ialah Raja Melayu yang mula-mula masuk ugama Islam, yang bermimpikan berjumpa hadrat Nabi kita Muhammad salla Allahu ‘alaihi wasallam, yang diajar oleh Rasulullah salla Allahu ‘alaihi wasallam, dengan mengucap dua kalimat syahadat, iaitu: asyhadu al la ilaha illa’llahu, wa asyhadu anna Muhammadan Rasulu’llahi: serta terkejut daripada tidurnya, dilihatnya zakarnya sudah terkhatan.”                                                                                                                                                                                      
                                                                        (Tuhfat al-Nafis, 1982: 4-5)
Selain itu juga, pengaruh Islam turut dipengaruhi oleh kehadiran pedagang-pedagang luar seperti dari negara Arab. Pada waktu dahulu, kapal-kapal dagangan bebas membawa barang-barang dagangannya dan berlabuh di pelabuhan yang ada. Kesempatan berdagang inilah digunakan oleh pedagang untuk melebar luaskan pengaruh atau fahaman mereka. Kehadiran pedagang dari luar yang secara tidak langsung melebar luaskan pengaruh Islam turut diselitkan oleh pengarang dalam Tuhfat al-Nafis. Misalnya:

“Maka pada pagi hari ia berangkat ke pantai melihat kapal datang dari Jeddah. Maka turunlah orangnya sembahyang di tepi pantai itu dilihatnya seperti yang di dalam mimpinya. Maka raja itu pun menderumkan gajahnya lalu diambilnya orang yang sembahyang itu dibawanya naik ke atas gajahnya, iaitu Syekh Makhdum namanya, lalulah dibawanya masuk ke dalam kotanya. Maka belajarlah ia akan ugama Islam. Maka masuk Islam segala orang besar-besarnya dan segala isi negeri Melaka itu. Maka baginda itu pun bergelarlah Sultan Muhammad Syah.”                                                                                                                                                                                               
                                                                              (Tuhfat al-Nafis, 1982: 5)
Petikan di atas menunjukkan kepada pembaca bagaimana permulaan agama Islam masuk ke Alam Melayu dan seterusnya tersebar luas. Pembaca juga dapat mengetahui bahawa pada mulanya agama Islam berkembang dalam golongan atasan atau istana dan barulah merebak pada rakyat tempatan. Di sinilah peranan pengarang dapat dilihat dalam menyampaikan maklumat akan kehadiran agama Islam pada ketika itu melalui karya Tuhfat al-Nafis. Agama Islam pada ketika itu menunjukkan pengaruh yang kuat di mana pihak pemerintah, iaitu raja atau sultan bertindak membanteras golongan yang membawa ajaran sesat pada ketika itu. Pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud di negeri Lingga, telah muncul seorang lebai dari Minangkabau, iaitu Lebai Tamat. Pada mulanya Sultan Mahmud menerima kehadiran lebai itu kerana menganggap lebai tersebut akan menyampaikan ajaran Islam.

“…maka datang seorang lebai orang Minangkabau ke negeri Lingga, namanya Lebai Tamat. Maka mengaku dirinya orang alim pada ilmu hakikat mengajarlah ia akan sesetengah orang Lingga akan ilmu hakikat, dinamakan ilmunya itu ‘Isa’ konon, dan banyaklah perkataan syathiyat, hingga akhir-akhirnya pekerjaannya jatuhlah seperti i’tiqad mulhid mengaku dirinya Allah taala. Maka banyaklah murid mengikut i’tiqad…”                                                                                                                                                                                
                                                                             (Tuhfat al-Nafis, 1982: 261)
Namun, pada ketika itu Sultan Mahmud tidak mengetahui akan perkara tersebut berlaku dalam negerinya. Pegawai-pegawai negeri Lingga telah menyampaikan masalah tersebut pada adinda Sultan Mahmud, iaitu Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar.

“…datanglah segala pegawai-pegawai negeri Lingga itu memaklumkan kepada Yang Dipertuan Muda, maka murkalah Yang Dipertuan Muda. Maka lalu Lebai Tamat itu dengan segala murid-muridnya ditaubatkan serta ditakzir digondolkan kepalanya. Kemudian daripada itu, maka lebai itu pun keluarlah dari Lingga…”                                                                                       
                                                                                  (Tuhfat al-Nafis, 1982: 261)
Namun perkara tersebut tidak berhenti di situ sahaja, Lebai Tamat telah pergi ke Lampung dan membawa ajaran sesat yang sama. Perkara tersebut telah dapat dihidu oleh Sultan Mahmud lalu baginda mengarahkan adindanya Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar membunuh lebai tersebut dengan mengadakan perancangan yang strategik.

“Maka sampailah khabar itu kepada Sultan Mahmud, maka bertambah-tambah murka baginda itu akan lebai itu. Maka lalu baginda berkirim surat kepada paduka adinda Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar minta bunuh juga Lebai Tamat itu.”                                                                                                                                                                                                                 
                                                                                   (Tuhfat al-Nafis, 1982: 262)
Raja Jaafar telah mengikut perancangan yang dilakukan oleh Sultan Mahmud untuk menangkap Lebai Tamat dan menjatuhkan hukuman bunuh kerana menyebarkan ajaran songsang di serata tempat.

“Maka apabila hampir ke darat maka ditangkaplah oleh orang yang disuruh Yang Dipertuan Muda itu lalu diikat dan didepangkan tangannya. Kemudian lalulah disuruh bunuh dikerat kepalanya dikirimkan kepada Sultan Mahmud di Lingga. Maka habislah kisah Lebai Tamat yang tersebut itui intiha.”                                                                                                              
                                                                                  (Tuhfat al-Nafis, 1982: 263)

Petikan dari naskhah Tuhfat al-Nafis itu telah menunjukkan bahawa pemerintah pada ketika itu amat mementingkan pegangan agama. Dapat dilihat bagaimana Sultan Mahmud dan Yang Dipertuan Muda berusaha untuk membanteras kegiatan ajaran sesat dan bagaimana tindakan yang diambil bagi menangani masalah tersebut. Baginda pada mulanya menggunakan cara yang lembut dengan meminta golongan tersebut bertaubat dan keluar dari negeri Lingga akan tetapi golongan tersebut masih meneruskan kegiatan seperti itu di tempat lain dan akhirnya baginda telah mengambil tindakan yang sewajarnya iaitu menjatuhkan hukuman bunuh kepada pembawa ajaran sesat tersebut.  


FALSAFAH ADAT ISTIADAT DALAM NASKHAH TUHFAT AL-NAFIS



Adat merupakan peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi hukum yang harus dipatuhi. Perkataan adat berasal daripada bahasa Arab bermaksud kebiasaan. Kedatangan Islam ke Alam Melayu membawa konsep ini dengan makna yang lebih luas dan mendalam sehingga merangkumi keseluruhan cara hidup yang kini ditakrif sebagai kebudayaan, undang-undang, sistem masyarakat, upacara, dan segala kebiasaan yang sering dilakukan, seperti cara makan atau cara duduk.

Selain itu juga adat istiadat merupakan bahagian adat yang mengatur segala macam upacara dan kegiatan suci yang perlu menerima penghormatan awam. Adat istiadat berlaku kerana diamalkan dan dijaga sebaiknya. Jika ditinggalkan, adat istiadat akan pupus. Namun adat istiadat juga tertakluk pada prinsip perubahan melalui muafakat dan perundingan ataupun kesan pengaruh dari luar. Ini banyak kelihatan dalam peringkat upacara edaran hidup manusia. Pengarang Tuhfat al-Nafis, iaitu Raja Ali Haji turut menyelitkan akan kemunculan adat-adat Melayu pada ketika itu. Beliau menyatakan bahawa, Sultan Muhammad Syah merupakan raja Melayu yang pertama memperkenalkan adat-adat dalam masyarakat Melayu.

“Syahadan baginda Sultan Muhammad Syah inilah Raja Melayu mula-mula meletakkan adat-adat Melayu seperti kekuningan yang tertentu kepada raja jua, melainkan kekuningan itu jika diambilkan baju dan kain dan destar maka tiga perkara itu boleh. Dan demikian lagi larangan membuat rumah beperangin dan tiang beralas tidak terletak ke tanah dan rumah berpebalaian dan berpelantaran. Dan perahu larangan juga seperti perahu bertingkap dan berpengadapan. Dan berlarang juga bergelang kaki emas keroncong kepala perak sekalipun tiada dapat orang keluaran memakainya, jika kaya sekalipun melainkan dengan anugerah raja jua maka boleh. Dan lainnya daripada adat yang tentu kepada raja-raja dan kepada anak-anak raja jua. Dan jika mengadap raja di balairung, jika Raja Muda duduklah di seri balai, demikian lagi Bendahara dan Temenggung dan Indera Bungsu dan segala menteri-menteri daripada raja-raja di seri balailah kedudukannya. Dan lagi beberapa adat istiadat yang tersebut pada siarah yang panjang-panjang.”                                                                                                                                                        
                                                                                (Tuhfat al-Nafis, 1982: 5)

Petikan di atas menunjukkan kepada pembaca akan punca bagaimana tercetusnya adat istiadat dalam golongan diraja seperti penggunaan warna kuning yang dikhususkan untuk golongan diraja dan penggunaan balairung dan seri balai ketika mengadap sultan dan raja muda. Apa yang hendak disampaikan oleh pengarang adalah supaya pembaca melihat dan mengetahui akan adat istiadat dan seterusnya memberi gambaran bahawa terdapat keistimewaan tersendiri bagi golongan atasan atau raja pada ketika itu.  


FALSAFAH ETIKA DALAM NASKHAH TUHFAT AL-NAFIS



Etika merupakan teori yang berkaitan dengan tindakan, hujah dan tujuan yang mengarah kepada makna sesuatu tindakan. Etika adalah bukan yang bersangkutan dengan fakta atau fizikal manusia tetapi merupakan suatu falsafah moral yang mengambil kira tindakan atau tingkah laku manusia. Etika juga merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul.

Raja yang berjiwa rakyat merupakan salah satu tingkah laku yang merujuk kepada etika atau perilaku seseorang. Raja yang berjiwa rakyat merupakan raja yang sangat dihormati dan disayangi oleh rakyat jelata. Hal ini demikian kerana, raja yang merupakan golongan yang mempunyai darjat yang tinggi sanggup melupakan darjatnya dan ‘turun padang’ melihat kehidupan yang dilalui rakyatnya. Raja yang berjiwa rakyat ini turun ditonjolkan dalam karya Tuhfat al-Nafis yang dikarang oleh Raja Ali Haji. Contohnya adalah seperti berikut:

“Syahadan apabila mangkatlah Sultan Mansur Shah ini maka menggantikan kerajaannya puteranya Sultan Alauddin Riayat Syah. Adalah baginda itu sangat suka mengawali negeri pergi sambang malam dengan dirinya sendiri, dan beberapa kali ia membunuh penyamun dan pencuri dengan tangannya sendiri dan menghukumkan dengan adil dan bencikan orang yang jahat-jahat serta memeliharakan harta benda orang.”                                                                                                                                                                                    
                                                                                  (Tuhfat al-Nafis, 1982: 7)
Pengarang memaparkan kepada pembaca akan sikap seorang raja pada ketika itu yang suka melakukan kerja-kerja menjaga keselamatan rakyat tanpa bantuan orang lain. Selain itu, pengarang turut menyelitkan corak pemerintahan yang dibawa pada ketika itu merupakan corak pemerintahan yang adil yang diterajui oleh Sultan Alauddin Riayat Syah yang digambarkan oleh pengarang sebagai raja yang berjiwa rakyat dan mempunyai etika atau tingkah laku yang baik dan seharusnya dicontohi oleh pemimpin pada zaman sekarang yang mengutamakan rakyat daripada kepentingan peribadi.

Selain memaparkan tingkah laku seorang raja yang berjiwa rakyat, raja yang adil dan benci akan perbuatan yang melanggar norma hidup manusia, karya yang dikarang oleh Raja Ali Haji, iaitu Tuhfat al-Nafis pengarang turut menyelitkan akan tingkah laku seseorang kerabat diraja yang melanggar norm atau etika sebagai seorang manusia. Contohnya:

“Maka itu Sultan Pahang bernam Sultan Mansur Syah kerabat baginda itu juga. Maka tiada beberapa lama di Pahang pindahlah pula ia ke Johor, lalu membuat negeri di Johor. Syahadan puteranya Sultan Ahmad itu murah perangainya, akan tetapi tidak suka akan orang tua-tua serta dihina-hinakannya segala orang besar-besar, serta dilakukannya pekerjaan-pekerjaan yang bukan-bukan patut atas orang tua-tua dan orang besar-besar itu. Maka Sultan Mahmud pun murka lalu diracunnya puteranya itu, maka mangkatlah Sultan Ahmad Syah itu. Maka jadilah enam keturunan Raja-raja Melayu kerajaan di dalam negeri Melaka.”                                                                                          
                                                                                 (Tuhfat al-Nafis, 1982: 8-9)
Melalui petikan di atas, pengarang ingin pembaca berfikir dan membuat perbandingan antara dua etika, iaitu etika yang baik dan etika yang buruk. Petikan di atas menujukan kepada pembaca akan sikap yang dibawa atau ditunjukkan oleh Sultan Ahmad Syah yang mempunyai tingkah laku yang buruk dan sering menindas golongan yang berada di bawahnya. Sikap yang ditunjukkan oleh Sultan Ahmad telah membuatkan ayahandanya berasa kurang senang dan menimbulkan kemarahan baginda lalu baginda Sultan Mahmud mengambil tindakan dengan memberi racun kepada anakandanya sendiri.


Di sini jelas menunjukkan bahawa pemimpin yang memiliki sikap yang burut dan tidak beretika akan membuatkan orang di sekelilingnya berasa kurang enak dan seterusnya akan ditolak bukan sahaja oleh keluarga sendiri malahan oleh orang di sekelilingnya. Petikan ini menunjukkan perbezaan antara dua kerabat diraja yang memiliki sikap atau etika yang berbeza dan pengarang menunjukkan bagaimana penerimaan orang lain terhadap sikap yang dibawa oleh seseorang individu itu.


Rabu, 29 Mei 2013

ADAT PEPATIH

Adat Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan Naning di Melaka. Nama Adat Perpatih diambil sempena gelaran orang yang menyuruh Adat Tuah Disakato, yakni adat yang diamalkan di Minangkabau, Datuk Parapatieh Nan Sabatang (Datuk Perpatih Nan Sebatang). Menurut Newbold (1839: 76 dalam buku Adat Perpatih: perbezaan dan persamaannya dengan Adat Temenggung), Negeri Sembilan semasa kedatangan perantau Minangkabau ke semenanjung Tanah Melayu, bukanlah kawasan yang tidak berpenghuni.


Semenjak orang Negeri Sembilan dan Naning mempunyai hubungan dengan masyarakat luar terutamanya orang-orang Eropah (Inggeris), cara hidup masyarakat Adat Perpatih telah dipengaruhi, malah diubah oleh elemen-elemen baru yang mewakili nilai-nilai yang tidak pernah dikenali sebelum ini. Jadual di bawah memberi penerangan mengenai perbezaan yang dialami oleh Adat Perpatih terutamanya sebelum dan selepas kedatangan pihak penjajah.

Sebelum kedatangan Penjajah
Perkara
Selepas Kedatangan
Penjajah

Yang Dipertuan Besar, Undang, Lembaga, Buapak dan Perut

Politik

·         Mengikis dan mengetepikan fungsi perwakilan politik (kuasa ketua adat- Undang, Lembaga, Buapak dikecilkan dan diganti dengan seorang Residen)
·         Residen dibantu oleh Pegawai Daerah.

Mewariskan tanah kepada kaum wanita dan kaum lelaki hanya sebagai penjaga.


Warisan Tanah

Sistem hak milik individu

Lelaki tidak boleh menikahi wanita dari sukunya sendiri.

Perkahwinan

Kaum lelaki berkahwin dengan wanita di luar masyarakat, hal yang sama juga berlaku dengan kaum wanita. (penghijrahan)

Pertanian

Ekonomi

·         Perdagangan
·         Pedalaman (berniaga kecil-kecilan dan bercucuk tanam- sawah padi)


Sumber: Wan Nur Safira Bt Wan Mohd Nafiah et.al. (2013). Nilai Ilmu Dan Maklumat :
Ilmu Perdukunan, Ilmu Firasat, Jampi, Pengasih, Strata Masyarakat, Adat Istiadat, Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris


ADAT TEMENGGUNG

Ramai penulis dan sarjana yang menulis dan mengkaji tentang adat masyarakat Melayu di semenanjung Malaysia beranggapan bahawa adat yang diamalkan di luar Negeri Sembilan adalah Adat Temenggung. Adat ini diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan (abang tiri kepada Datuk Perpatih Nan Sebatang yang mengasaskan Adat Perpatih) yang berasal dari Sumatera. Wujudnya istilah "Adat Temenggung" adalah berkait dengan munculnya istilah "Adat Perpatih" kerana istilah ini tidak ada dalam budaya Melayu yang awal. Disebabkan oleh Adat Temenggung diamalkan di hampir semua negeri-negeri Melayu, maka Adat Temenggung telah bercampur dengan undang-undang adat Melayu sedia ada yang mempunyai nama yang berbeza mengikut negeri. Aspek yang terdapat dalam adat Temenggung, antaranya ialah :

 i.                   Sistem Politik dan Kekuasaan
Raja atau sultan merupakan kedudukan yang paling tinggi dalam struktur politik di negeri-negeri Melayu yang tidak mengamalkan Adat Perpatih. Di bawahnya terdiri daripada kerabat diraja bergelar yang berhak, mengikut giliran, mewarisi takhta kerajaan apabila raja atau sultan mangkat. Seterusnya terdapat pembesar-pembesar yang memegang portfolio tertentu iaitu penasihat raja dalam semua aspek pentadbiran negeri. Raja atau sultan mempunyai hak keistimewaan dan kuasanya diperkukuhkan melalui konsep daulat dan derhaka.

Raja atau sultan dalam negeri-negeri Melayu diberi kuasa penuh dalam menentukan corak pemerintahan di negeri-negeri Melayu. Pada zaman dahulu, corak pemerintahan negeri-negeri Melayu bercorak autokrat. Baginda selalunya diakui sebagai lambang kesatuan rakyat dan sebagai ketua negara. Sistem pertabalan baginda berdasarkan keturunan atau warisan. Anak lelaki sulung akan dilantik sebagai raja sekiranya raja mangkat. Sekiranya raja atau sultan tidak mempunyai waris, maka gelaran ini akan diturunkan kepada adik lelakinya. Sekiranya kedua-dua ini tiada, maka gelaran ini diturunkan kepada Raja Bendahara.
Lihat contoh di bawah:

a.                  Politik

Hatta setelah empat puluh dua tahun umur Sultan Muzaffar Syah di atas kerajaan, maka baginda pun mangkatlah. Maka anakanda baginda Raja Abdullah, menggantikan ayahanda baginda.
      (Sulalatus Salatin, 1979: 96)

Setelah Sultan Ahmad sudah mangkat, maka oleh Sultan Mahmud anakanda baginda Raja Muzaffarlah di timbangkan baginda akan kerajaan...Tun Khoja Ahmad, anak Bendahara Lubuk Batu, dijadikan Sultan Mahmud Bendahara, bergelar Paduka Raja, Tun Abu Ishak, anak Orang Kaya Tun Abu Sahid, dijadikan Perdana Menteri, bergelar Seri Amar Bangsa.
(Sulalatus Salatin, 1979: 271)

b.                  Kekuasaan (daulat dan derhaka)

Bendahara Paduka Raja pun berwasiatkan kepada segala anak cucunya ... jangan kamu sekaliannya melupai daripada berbuat kebaktian ... raja itu umpama dua buah permata pada sebentuk cincin; lagi pula raja itu umpama ganti Pencipta (Allah) dalam dunia.
                                                                                         (Sulalatus Salatin, 1979: 190)

ii.                   Perundangan
Bentuk dan pelaksanaan hukumannya adalah lebih tegas dan keras, bertujuan menghukum serta berpegang kepada prinsip pembalasan semata-mata. Oleh itu, pelaksanaan sesuatu hukuman dibuat dengan tegas agar dapat memberi iktibar dan amaran kepada orang lain. Hukuman bunuh dikenakan atas kesalahan berat seperti membunuh, mencuri, memfitnah dan menderhaka kepada raja. Hukuman bunuh dilakukan oleh raja atau sultan sahaja. Lain-lain hukuman boleh dilakukan oleh pembesar-pembesar.

Undang-undang atau peraturan yang diamalkan dalam Adat Temenggung lebih memihak kepada golongan atasan atau pemerintah. Hal ini bermaksud, sekiranya rakyat melakukan kesalahan yang sama dilakukan oleh kerabat diraja, hukuman yang diterima oleh golongan rakyat lebih berat berbanding hukuman yang dikenakan kepada kerabat diraja.

Beberapa contoh dapat ditemui dalam dua karya agung iaitu Sulalatus Salatin dan Undang-undang Melaka yang mana peristiwa atau catatannya dapat dikategorikan dalam Adat Temenggung. Contohnya, kita lihat di bawah:

Maka titah baginda (Sultan Alau’d-Din) kepada Seri Maharaja: Jikalau orang mendapat harta orang, jika tiada dipulangkannya pada yang empunya, disuruh baginda kudung tangannya...
      (Sulalatus Salatin, 1979: 175)

Pada suatu malam Seri Maharaja berkawal, bertemu dengan seorang pencuri, maka diparang oleh Seri Maharaja dengan pedang bertupai, putus bahunya...
      (Sulalatus Salatin, 1979: 175)

Fasal yang kesebelas pada menyatakan hukum orang mencuri. Adapun jikalau seseorang mencuri lagi dalam kampung itu, maka tahu orang yang empunya itu, maka dibunuhnya, tiadalah lagi salah yang membunuh itu.
                    (Undang-undang Melaka, 2003: 113)

Contoh di atas menggambarkan bahawa hukuman yang dikenakan seperti yang diamalkan dalam Adat Temenggung lebih keras dan tegas.

iii.                   Perkahwinan
Aturan perkahwinan dalam Adat Temenggung banyak didasari dengan hukum Islam. Ini sejajar dengan prinsip hukum syarak yang mengiktiraf lelaki sebagai ketua keluarga. Lelaki dibenarkan kahwin dengan sesiapa sahaja asalkan tidak bertentangan dengan hukum syarak. Sekiranya mempunyai pertalian darah atau muhrim, perkahwinan dilarang. Contoh dalam karya agung seperti:

“Jikalau ada perempuan berbapa atau bernini atau saudaranya laki-laki, itulah akan walinya perempuan itu”
“...jauh wali itu daripada negeri sehari semalam...maka haruslah hakim walinya”
“Ia yatim, itu pun hakim akan walinya itu”
“Adapun segala syarat ini, maka berlakulah hukum nikah yang pada kitab Allah Ta’ala...”
       (Undang-undang Melaka, 2003: 130)

Contoh-contoh di atas membuktikan bahawa perkahwinan dilakukan berdasarkan agama Islam, sama seperti dalam kebiasaan Adat Temenggung.


Sumber: Wan Nur Safira Bt Wan Mohd Nafiah et.al. (2013). Nilai Ilmu Dan Maklumat :
Ilmu Perdukunan, Ilmu Firasat, Jampi, Pengasih, Strata Masyarakat, Adat Istiadat, Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris

 

ADAT DAN ISTIADAT


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) pula, adat bermaksud peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun di dalam sesuatu masyarakat (sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi). Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), istiadat bermaksud peraturan atau cara-cara melakukan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan. Pengertian istiadat mempunyai kaitan dengan adat. Apabila kita menyebut adat istiadat, ia membawa dua maksud iaitu pelbagai adat dan upacara termasuk peraturan pelaksanaannya. Sehubungan dengan itu, berbeza dengan undang-undang, istiadat boleh dikatakan tidak melibatkan hukuman atau denda tertentu.

Terdapat dua jenis adat yang terdapat dalam Sulalat al-Salatin, iaitu adat yang melibatkan hukuman dan adat yang tidak melibatkan hukuman. Adat yang melibatkan hukuman terbahagi kepada dua, iaitu undang-undang dan larangan Diraja. Antara undang-undang yang terdapat dalam Sulalat al-Salatin ialah derhaka, menggunakan hak raja tanpa izin, merancang untuk merampas kuasa atau seumpamanya, tidak mengadap raja pada hari-hari tertentu, biadab kepada raja atau wakil, mencuri, membuat fitnah dan Mengambil isteri orang.

Undang-undang pertama ialah derhaka. Seorang penderhaka yang berdosa boleh dihukum bunuh oleh raja. Undang-undang yang membawa hukuman mati ke atas penderhaka buat pertama kalinya kepada Tun Jana Khatib yang disifatkan sebagai seorang penderhaka apabila disyaki oleh Paduka Seri Maharaja kerana cuba menawan hati isteri baginda dengan menunjukkan kebijaksanaan membelah pohon pinang melalui tilikan mata (Sulalat al-Salatin: 55). Seterusnya ialah menggunakan hak raja tanpa izin. Pelaksanaan undang-undang ini dapat dikesan semasa pemerintahan Sultan  Mansur Syah apabila Hang Tuah menggunakan hak raja, iaitu gundik raja. Walaupun banyak berjasa kepada baginda dan raja, itu tidak dapat menjamin Hang Tuah terselamat daripada hukuman bunuh (Sulalat al-Salatin: 97).

Undang-undang juga menetapkan bahawa rakyat atau pembesar tidak boleh merampas kuasa. Hal ini jelas apabila Sultan Mahmud Syah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Bendahara Seri Maharaja setelah mendapat aduan bahawa Bendahara merancang hendak merampas kuasa raja (Sulalat al-Salatin: 205). Undang-undang seterusnya ialah tidak mengadap raja pada hari-hari tertentu seperti hari raya. Pesalah boleh dijatuhi hukuman bunuh sekiranya sebab yang diberikan tidak bersesuaian. Hal ini terjadi semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah yang memerintahkan hukuman bunuh ke atas Seri Bija Diraja kerana tidak mengadap baginda pada hari raya (Sulalat al-Salatin: 153).

Seseorang yang tidak menghormati wakil raja akan dihukum bunuh kerana dianggap mahu menunjukkan kuasa. Undang-undang ini ternyata dipraktikkan apabila Tun Perpatih Hitam telah menguis tikar ketika perbicaraannya sedang berlangsung di hadapan Bendahara bagi menunjukkan rasa tidak puas hatinya itu. Tindakannya itu telah mengundang padah apabila Laksamana bertindak membunuhnya kerana menjadi tanggungjawabnya (Sulalat al-Salatin: 172). Sulalat al-Salatin juga tidak ketinggalan mengenai undang-undang menghukum seseorang mencuri. Hal ini sendiri telah dilaksanakan oleh Sultan Alauddin Riayat Syah yang bertindak membunuh pencuri-pencuri tersebut dengan keluar sendiri pada waktu malam (Sulalat al-Salatin: 137).

Undang-undang membuat fitnah juga turut dilaksanakan dalam Sulalat al-Salatin. Si penyampai fitnah akan dihukum bunuh. Raja Mendeliar telah bertindak memfitnah Bendahara Seri Maharaja dan telah dijatuhkan hukuman (Sulalat al-Salatin: 207). Undang-undang yang terdapat dalam Sulalat al-Salatin juga tidak terlepas daripada kesalahan bersekedudukan dengan isteri orang serta tunangan orang. Sesiapa yang melanggarnya boleh dihukum bunuh tanpa mengira orang itu pembesar mahupun sultan. Sultan Mahmud Syah berlaku curang dengan isteri Tun Biajid. Sekiranya Tun Biajid tidak berpegang kepada konsep pantang Melayu menderhaka, sudah pasti Sultan Mahmud Syah sudah dibunuhnya. Baginda sedar akan kesalahannya itu dan tidak menyalahkan Tun Biajid dengan tindakannya itu (Sulalat al-Salatin: 157).

Berdasarkan Sulalat al-Salatin, larangan diraja pertama kalinya dilaksanakan oleh Sultan Muhammad Syah sebaik sahaja baginda memeluk Islam Antara larangan-larangan tersebut dilarang memakai kain kuning dalam perhiasan tertentu, membuat rumah bentuk-bentuk tertentu, membuat perahu berhias tertentu; memakai perhiasan emas, memakai keris dalam cara-cara tertentu dan dilarang penggunaan payung warna putih hanya untuk anak raja dan kuning hanya untuk raja (Sulalat al-Salatin: 60-65).

Terdapat dua jenis adat yang tidak melibatkan hukum, iaitu aturan atau peraturan negeri dan istiadat. Antara aturan negeri yang terdapat dalam Sulalat al-Salatin ialah negeri kalah raja mati,  perlantikan pengganti seseorang raja, mengadap atau menjunjung duli dan aturan pengurniaan gelaran. Satu hal yang menarik dalam peraturan negeri sebagaimana yang diperlihatkan oleh Sulalat al-Salatin ialah penguasaan raja ke atas negeri tersebut. Walaupun negeri telah oleh satu kuasa luar, sedangkan raja masih hidup tetapi melarikan diri. Raja tersebut masih berkuasa ke atas negeri itu kerana menurut aturan “negeri kalah raja mati”. Hal ini berlaku dalam peristiwa di mana ketika Sultan Iskandar Syah diserang Majapahit. Baginda telah bertindak melarikan diri ke Muar (Sulalat al-Salatin: 57). Perlantikan pengganti seseorang raja dalam Sulalat al-Salatin kebanyakannya dilakukan oleh raja itu sendiri melalui wasiatnya sebelum mangkat. Setelah itu barulah raja yang baru akan dijunjung duli oleh pembesar dan rakyat jelata (Sulalat al-Salatin: 54).

Ketika mengadap atau menjunjung duli terdapat peraturan khusus mengenainya tempat duduk para pembesar disusun secara bertingkat-tingkat bermula dengan Bendahara, Penghulu Bendahari, hulubalang besar, para menteri (Sulalat al-Salatin: 30). Ketika mengadap raja, mana-mana pembesar termasuk Bendahara tidak boleh disembah sebelum raja ataupun di hadapan raja. Peraturan ini tergambar ketika pembesar-pembesar menunggu Sultan Mahmud Syah keluar untuk berhari raya. Tindakan Raja Mendeliar yang hendak menyembah Bendahara telah menyebabkan kemarahan Bendahara Seri Maharaja (Sulalat al-Salatin: 203). Bagi aturan pengurniaan gelaran, mereka akan dilantik mengikut adat perlantikan gelaran. Ini dapat dilihat dalam peraturan yang telah ditetapkan oleh Sultan Muhammad Syah (Sulalat al-Salatin: 62)

Istiadat meliputi pelbagai upacara yang dijalankan oleh kelompok manusia, namun dalam Sulalat al-Salatin lebih memberikan perhatian kepada golongan raja dan kerabatnya sahaja. Istiadat-istiadat itu termasuklah istiadat perkahwinan, melenggang perut, melahirkan anak, bertindik atau berkhatan, kematian dan pertabalan raja. Istiadat perkahwinan ini dapat dilihat melalui perkahwinan yang berlangsung antara Raja Iskandar dengan Tuan Puteri Syahr al-Bariyah. Pelbagai istiadat telah berlangsung sepanjang proses peminangan, akad nikah dan persandingan tersebut (Sulalat al-Salatin: 5-7). Sulalat al-Salatin memperlihatkan istiadat menyambut kelahiran bayi ketika Tun Fatimah melahirkan anak lelaki Sultan Muhammad Syah yang bercukur jambul dan ditabal sebagai Sultan Muda selepas 40 hari kelahirannya (Sulalat al-Salatin: 216).

Istiadat berkhatan tidak terdapat banyak dalam Sulalat al-Salatin tetapi hanya dinyatakan sahaja. Kita dapat lihat apabila Tun Perpatih Tulus Tukang Segara mencadangkan supaya Sultan Ahmad, iaitu anak Sultan Malik al-Zahir dikhatankan. (Sulalat al-Salatin: 52). Istiadat pengebumian juga hanya dinyatakan sahaja tanpa memperincikan bagaimana istiadat pengebumian itu dilakukan. Hal ini dapat dilihat apabila hanya dinyatakan “mayat Sultan Malik al-Mansur pun ditanamkan oleh paduka baginda seperti tertib raja-raja yang besar-besar” (Sulalat al-Salatin: 54). Istiadat pertabalan raja dipraktikkan oleh Seri Teri Buana yang dijadikan raja Palembang selepas selesai upacara permandian selepas dikahwinkan dengan Tuan Puteri Uwan Sundari (Sulalat al-Salatin: 25).

Sumber: Wan Nur Safira Bt Wan Mohd Nafiah et.al. (2013). Nilai Ilmu Dan Maklumat :
Ilmu Perdukunan, Ilmu Firasat, Jampi, Pengasih, Strata Masyarakat, Adat Istiadat, Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris