Terjemahan

PENGIKUT

Rabu, 22 Mei 2013

SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU

Sulalatus Salatin juga dikenali sebagai Sejarah Melayu.  Karya ini telah dikarang oleh Tun Sri Lanang ketika beliau menjadi Bendahara paduka Johor bermula tahun 1580 hingga 1615. Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Karya ini bergenre sejarah yang mengandungi lima belas bab kesemuanya. Karya agung ini menceritakan tentang perihal zaman kesultanan Melayu Melaka yang dikatakan di bawa dari Goa. Hal ini dapat dibuktikan dalam ayat berikut :

“Pada antara itu ada seorang Orang Besar,  terlebih mulianya dan terlebih besar martabatnya daripada yang lain. Maka berkata ia kepada fakir, “ Hamba dengar ada Hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya dengan adatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian dari kita…”
Karya ini mempunyai banyak versi antaranya versi W. G  Shellabear, Munshi Abdullah dan versi Raffles MN. Karya ini mengisahkan tentang zaman pemerintahan raja terdahulu seperti zaman pemerintahan kesultanan Melayu Melaka.  Pelbagai kisah yang boleh dijadikan tauladan kepada masyarakat pada hari ini. Walaupun karya ini berkisarkan tentang zaman pemerintahan raja-raja, karya ini tetap boleh dijadikan panduan hidup serta mendidik masyarakat pada hari ini. Pelbagai nilai Melayu yang tergambar dalam karya ini  seperti nilai estetika yang menjadi keutamaan dalam karya Melayu iaitu estetika dari segi adab dan adatnya, estetika dari segi retoriknya dan sebagainya. Selain itu terdapat juga nilai Melayu yang melihat tentang etika dan kepimpinan dalam Masyarakat Melayu.

Masyarakat Melayu digambarkan sebagai masyarakat yang bijak mendidik serta mementingkan keagamaan. Hal ini menyebabkan lahirnya pelbagai bentuk sastera. Selain sastera sejarah terdapat juga sastera lipur lara, undang-undang, epik, mitos, dan agama. Melalui penelitian terhadap karya agung Sulalatus Salatin Sejarah Melayu pelbagai falsafah melayu yang digarap dalam penceritaan ini. Hal ini merupakan salah satu sebab mengapa Sulalatus Salatin diangkat sebagai karya agung. Antara bentuk falsafah Melayu yang terkandung dalam karya ini seperti falsafah nilai dan etika, kepimpinan, waad, estetika, bahasa, agama dan banyak lagi. Namun hanya sebahagian falsafah Melayu sahaja yang akan dikupas dalam penelitian terhadap falsafah Melayu dalam karya agung Sulalatus Salatin ini.




1 ulasan :

Tanpa Nama berkata...

Menarik